Trek Basikal Dari Teluk Ketapang Ke Kuala Ibai Akan Dibina Segera


KUALA TERENGGANU, 2 Januari - Pembinaan trek basikal dari Teluk Ketapang ke Kuala Ibai akan dilaksanakan dalam masa terdekat setelah selesai kajian oleh beberapa pihak.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sukan, Belia dan NGO negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata,penstrukturan cadangan berkenaan pembinaan trek tersebut sedang dijalankan sebelum keputusan lanjut dibuat.

“Kita jangkakan laluan trek basikal ini akan dibina seberapa segera selepas kajian daripada beberapa pihak termasuk Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN), Pihak Berkuasa Tempatan dan Majlis bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) untuk melihat spesifikasi yang diperlukan  dalam pembinaan trek terbabit.

“Ini kerana, pembinaan trek basikal ini adalah untuk tujuan menggalakkan aktiviti riadah di mana pembinaannya nanti akan disertakan dengan tempat berehat, santai dan sebagainya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika sesi wawancara dalam Bicara Khas Pasca-Bajet Terengganu 2019 di konti Manis FM, semalam.

Menurut beliau, menerusi pembentangan Bajet 2019 yang lalu, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM2.9 juta bagi pembinaan trek basikal bercirikan keselamatan di negeri ini dalam usaha membudayakan hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

Dalam perkembangan lain, katanya, Bajet 2019 juga memperuntukkan RM15 juta untuk dana pembangunan sukan dan pendedahan atlet Terengganu.

“Untuk mengekalkan penguasaan kita dalam bidang sukan khusus untuk menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) 2020, kerajaan negeri merasakan perlu melakukan sesuatu untuk mengekalkan penguasaan ini.

“Dalam Bajet 2019 baru-baru ini, Meteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah mengumumkan sebanyak RM15 juta diperuntukkan sebagai persiapan para atlet untuk mempersiapkan diri mereka dan pembangunan sukan di negeri ini.

“Fokus kita kepada sukan-sukan yang tertentu contohnya basikal, bola sepak , hoki dan beberapa sukan yang kita jelas menguasai termasuk sukan kenu dan perahu layar,” ujarnya.


Tag: