KUALA TERENGGANU, 3 Februari - Kerajaan negeri berusaha memperkasakan penerima bantuan supaya mereka dapat berdikari melalui program 'Two-Year Exit Program'.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Mazura Ngah Abd Manan berkata, penerima bantuan akan diberikan latihan dan bantuan ekonomi dalam tempoh dua tahun bagi membantu mereka keluar daripada kebergantungan kepada bantuan kerajaan.
"Kalau boleh, kita ingin membantu golongan yang masih produktif dengan menyediakan bantuan khas dalam bentuk sokongan ekonomi bagi mereka meningkatkan taraf ekonomi sendiri dan seterusnya keluar daripada senarai penerima bantuan.
"Ini yang kita nak memperkukuhkan setiap tahun, memang kita ada beberapa orang yang kita pilih untuk diberi bantuan, bantuan 'Two Year Exit Program' (bantuan penyelesaian dua tahun) supaya dia tak jadi penerima dah selepas itu dan kita dapat manfaat penerima lain pula," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media dalam sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu dan Perhimpunan Bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri Terengganu bilangan 1 tahun 2025 di Dewan Sinar Harapan, pada hari ini.
Menurutnya, seramai 41, 450 orang penerima bantuan dengan keseluruhan peruntukan sebanyak RM166 juta pada tahun lalu.
"Merangkumi juga penerima bantuan daripada kerajaan negeri 16,662 penerima dibawah tanggungan Kerajaan negeri dan selebihnya penerima Bantuan Persekutuan.
"Sehingga 31 Disember 2024, 38, 533 telah berdaftar sebagai OKU di Terengganu dan setakat hari ini terdapat 47 buah pusat pemulihan dalam komuniti (PPDK) di seluruh Terengganu," ujar beliau.
Beliau menambah, Kerajaan negeri telah menubuhkan Majlis Tindakan Orang Kurang Upaya (OKU) negeri Terengganu pada tahun lepas Mac 2024.
Katanya lagi, usaha untuk memperkukuhkan kebajikan OKU kini menjadi keutamaan, termasuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menyantuni golongan tersebut.
“Kita melihat kejadian di Kemaman sebagai peringatan bahawa kesedaran masyarakat terhadap OKU masih perlu dipertingkatkan.
"Kita nak memperkukuhkan untuk memberi pendedehan kepada masyarakat betapa penting kita menyantuni OKU," katanya.
Sementara itu, program Ziarah Kasih yang telah dijalankan tahun lalu akan diteruskan tahun ini bagi menyantuni golongan sasar di setiap daerah.