Velodrom Azizulhasni Bukan Dibina Untuk Kejohanan Antarabangsa

KUALA TERENGGANU, 14 Ogos - Velodrom Azizulhasni Awang sememangnya tidak dibina untuk penganjuran kejohanan basikal bertaraf antarabangsa (UCI).

Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) Ahmad Shahrizal Yahaya berkata, oleh itu tidak timbul sebarang isu berkaitan mengadakan kejohanan bertaraf UCI di sana.

Menurutnya, ia sebaliknya berfungsi sebagai kemudahan latihan awal bagi atlet berbasikal yang baru.

"Hasrat asal pembinaan veledrom ni bukan untuk penganjuran kejohanan, tetapi untuk melahirkan bakat baru sukan berbasikal trek memandangkan Negeri Terengganu memang kilang melahirkan atlet berbasikal berbakat. 

"Memang diakui terdapat sedikit kecacatan pada reka bentuk veledrom tersebut dan saya serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah ada membangkitkan isu berkaitan laluan masuk ambulan dan atlet dan lain-lain yang berpotensi menjadi masalah kelak.

"Tetapi pihak kontraktor memaklumkan, perubahan bagi pembinaan laluan masuk ke dalam veledrom tidak boleh diubah kerana asasnya telah di bina dan ia akan merosakkan struktur veledrom," katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.

Jelasnya, projek tersebut diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek pada tahun 2009 sebagai penghargaan atas jasa Dato' Azizulhasni Awang dalam sukan berbasikal.

Namun ia tergendala dan berlarutan hingga beberapa tahun atas faktor tertentu.

"MSNT pernah memohon supaya velodrom itu dibina di Kompleks Sukan Terengganu, Gong Badak dengan spesifikasi ditetapkan UCI, tetapi tidak diluluskan.

"Kami dimaklumkan, pembinaan velodrom bertaraf UCI sebagaimana di Johor memerlukan kos sebanyak RM30 juta hingga RM50 juta berbanding kos velodrom ini iaitu RM11 juta," katanya.

Terbaharu, kerajaan menjangkakan velodrom di Dungun itu akan siap pada April 2022.

Semalam, tular gambar velodrom terbabit dan pengulas sukan serta orang ramai mempertikaikan spesifikasi pembinaan projek itu yang dikatakan tidak memenuhi piawai penganjuran sukan berbasikal trek.


Tag: