Yahaya Speaker DUN Terengganu

Yahaya mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pada Mesyuarat Pertama bagi Penggal Persidangan Pertama DUN Yang Ke-14, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail.

Timbalan Pesuruhjaya PAS III Terengganu, Yahaya Ali mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pada Mesyuarat Pertama bagi Penggal Persidangan Pertama DUN Yang Ke-14, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Yahaya, 60, Yang Dipertua PAS Marang dan bekas ADUN Alur Limbat (1999-2004) mengangkat sumpah jawatan itu, kira-kira jam 9.40 pagi.

Pemilihan Yahaya sebagai Yang Dipertua DUN baharu dicadangkan Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan disokong oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan & Pengajian Tinggi negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Satiful Bahri Mamat.

Jawatan Yang Dipertua DUN Terengganu pada penggal lalu dipegang oleh Dato' Mohd Zubir Embong.

Selepas pelantikan itu, semua 32 ADUN didahului ADUN Rhu Rendang yang juga Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar termasuk 10 wakil pembangkang  mengangkat sumpah ADUN.



Yahaya yang menetap di Kampung Gelugor Kedai pemegang Diploma Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam juga merupakan Timbalan Pengerusi Lajnah Hubungan NGO PAS Pusat.

Tag: