KUANTAN, 5 Jun- Rata-rata anak Terengganu di perantauan mengemukakan persoalan berkisar kebajikan serta peluang mendapatkan bantuan dalam membangunkan perniagaan mereka.
Setiausaha Agong PERANTAU, merangkap Setiausaha Sekretariat Persatuan Anak-Anak Terengganu di Perantauan, Awasi Mohamad memaklumkan, selain itu ramai dikalangan anak rantau ingin mendapatkan maklumat berkenaan isu-isu pengundi baru dan isu-isu kebajikan pengundi di musim pilihanraya.
"Sebenarnya, ada beberapa perkara yang sepatutnya ditanyakan seperti program yang telah dijalankan kerajaan negeri, kerana banyak program libat urus yang dilaksanakan selama sepenggal ini.
"Apapun, ini kali pertama kita menerima respon yang amat luar biasa. Saya nampak perubahan yang besar, khususnya di negeri Pahang ini besar dan untuk dapatkan respon sebegini adalah sukar.
"Banyak yang datang hari ini daripada pelbagai golongan. Saya mengharapkan ramai yang profesional akan tampil untuk meningkatkan percambahan idea serta komunikasi dua hala antara anak-anak rantau dan kerajaan negeri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas Dialog Bersama Pimpinan Terengganu dan Anak Perantau Pahang yang berlangsung di Dewan Atabara, di sini hari ini.
Program dialog itu menampilkan panel terdiri daripada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Wan Sukairi Wan Abdullah; Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional, Hanafiah Mat serta Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital, Ariffin Deraman.
Hadir sama meraikan perantau dan diberi penghormatan menyampaikan ucapan penutup ialah Ahli Dewan Negara, Senator Dato'Husain Awang.
Turut hadir, Pengerusi Perantau Pahang, Dr. Hasbullah Mohamad.
Majlis anjuran Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) itu menghimpunkan lebih 200 perantau dan menjadi salah satu medium perantaraan kerajaan negeri untuk menyampaikan maklumat serta bantuan kepada anak-anak negeri di perantauan.