DUNGUN, 16 Julai - Operasi Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka bermula pada Januari 2027 nanti akan melibatkan dua jenis kereta api penumpang iaitu laluan ekspres dan transit (persinggahan).
Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman selepas kunjungan ke Stesen ECRL Dungun, pada Selasa.
Menurutnya, maklumat awal daripada ECRL sebelum ini menunjukkan peratusan 70:30 bagi keretapi kargo dan penumpang.

"Hari ini, kita dapat penjelasan bahawa yang datang nanti adalah sistem tren berasingan iaitu satu tren penumpang dan satu tren kargo.
"Kita juga dimaklumkan bahawa tren itu bukannya semua jenis ekspres, tetapi ada satu ekspres dan satu lagi dipanggil transit," jelasnya.
Katanya lagi, keretapi jenis ekspres hanya akan berhenti di stesen-stesen utama sahaja bermula dari Gombak (Selangor) ke Kota SAS (Pahang), Kuala Terengganu dan di Kota Bharu (Kelantan).
Manakala, stesen-stesen kecil lain hanya disinggahi keretapi jenis transit.
"Dalam masa sama, laluan tren-tren ini ada 'looping' (lingkaran) tersendiri dan bukannya dari hujung ke hujung seperti contoh, dari Gombak sehingga Kota SAS sahaja.

ECRL yang beroperasi bagi fasa satu akan merangkumi 16 stesen melibatkan laluan sejauh 665km (Gombak-Kota Bharu).
Sehingga Jun, kemajuan projek telah mencapai 94.60 peratus dengan Negeri Terengganu mencapai 99.45 peratus siap, Kelantan (99.64 peratus), Pahang (98.28 peratus) dan Selangor sebanyak 86.43 peratus.