lightning-solid
Berita :
Terengganu Lancar Tiga Inisiatif Transformasi Digital Kerajaan
Terengganu Lancar Tiga Inisiatif Transformasi Digital Kerajaan
Adli Mohamad
1 jam yang lepas
75

KUALA TERENGGANU, 4 Ogos – Kerajaan Terengganu melancarkan tiga inisiatif transformasi digital bagi memperkukuh sistem pentadbiran negeri serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Tiga inisiatif tersebut ialah Dashboard AI, Portal Rasmi Kerajaan Negeri berwajah baharu yang dilengkapi Chatbot AI serta Terengganu Electronic Records and Archive (TERA).

Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham berkata, pelaksanaan ketiga-tiga inisiatif itu selaras dengan gagasan ‘Pentadbiran Dinamik, Perkhidmatan Cemerlang’ yang diperkenalkan sebelum ini.

Menurutnya, Dashboard AI menghimpunkan maklumat dan data daripada pelbagai jabatan serta agensi negeri bagi membantu ketua jabatan dan pengurusan tertinggi melakukan pemantauan serta membuat keputusan dengan lebih berkesan.

“Portal rasmi kerajaan negeri yang berwajah baharu dan diperkasakan dengan Chatbot AI pula akan menjadi antara platform rujukan utama rakyat untuk mendapatkan maklumat berkaitan perkhidmatan kerajaan dengan lebih mudah dan pantas.

“Sistem TERA akan memperkemas pengurusan dokumen dan rekod secara elektronik, sekali gus membantu pegawai serta kakitangan mengambil tindakan dengan lebih cepat, teratur dan sistematik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan dan Penyampaian Apresiasi Pekerja Cemerlang Bulanan Warga Kerja Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Azmi berkata, TERA merupakan produk yang lahir daripada Pertandingan Kreativiti dan Inovasi Tahun 2025.

Katanya, sistem itu turut menerima Anugerah Khas Juri pada Majlis Anugerah Persada Inovasi Negeri Terengganu 2025.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada Bahagian Pembangunan Teknologi Maklumat, Bahagian Khidmat Pengurusan, Pasukan Subject Matter Expert IT, semua pegawai dan kakitangan, pasukan teknikal serta rakan strategik yang menyumbangkan idea, tenaga dan komitmen dalam merealisasikan inisiatif ini,” katanya.



Tag :

Artikel Berkaitan