lightning-solid
Berita :
Keluarga Remaja Melecur Terharu Kerajaan Terengganu Tanggung Rawatan RM15,000
Keluarga Remaja Melecur Terharu Kerajaan Terengganu Tanggung Rawatan RM15,000
Noraini Jusoh
1 jam yang lepas
45

KUALA TERENGGANU, 4 Ogos – Keluarga Ahmad Asyraf Talhah, 13, yang melecur hampir 60 peratus dalam kemalangan di persimpangan Buluh Gading, Manir, membabitkan motosikal Yamaha RXZ Jumaat lalu, terharu dengan keprihatinan kerajaan Terengganu yang tampil menghulurkan bantuan.

Bapanya, Talhah Mahmud, 61, berkata kerajaan negeri memberi jaminan untuk menanggung keperluan semasa rawatan anaknya yang dianggarkan berjumlah RM15,000.

Menurutnya, bantuan yang akan disalurkan menerusi Tabung Darul Iman (TDI) itu amat bermakna kerana mereka bukan daripada keluarga berada.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana kerajaan negeri cakna terhadap nasib keluarga kami.

“Terima kasih atas bantuan yang disalurkan. Bantuan ini amat bermakna kerana saya bukan orang senang. Saya dan isteri hanya berniaga kuih-muih yang diletakkan di kedai-kedai sekitar kampung kami,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Talhah turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai atas pelbagai sumbangan dan sokongan moral yang diberikan kepada keluarganya dalam menghadapi ujian tersebut.

“Saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua yang membantu. Walaupun kadang-kadang saya berasa malu, saya amat menghargai keprihatinan semua pihak.

“Saya tidak mahu musibah yang menimpa keluarga kami dianggap sebagai rezeki terpijak. Saya percaya setiap kejadian pasti mempunyai hikmah dan saya reda dengan ketentuan Allah,” katanya.

Mengulas perkembangan terkini Ahmad Asyraf, Talhah berkata anaknya masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Menurutnya, Ahmad Asyraf kini ditidurkan bagi membolehkan prosedur pembersihan luka melecur dilakukan.

Talhah turut memaklumkan keadaan isterinya yang sedang hamil tujuh bulan serta bayi dalam kandungan berada dalam keadaan baik.

“Saya memohon orang ramai terus mendoakan kesembuhan Asyraf agar dia kembali pulih. Terima kasih atas keprihatinan semua,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.50 pagi Jumaat lalu, Ahmad Asyraf melecur hampir 60 peratus dari bahagian pinggang hingga ke bawah selepas motosikal yang dinaikinya bersama ibunya, Syafirah Salim, 36, terbabit dalam kemalangan dengan sebuah Yamaha RXZ.

Ketika kejadian, dua beranak itu dalam perjalanan dari rumah mereka di Kampung Tanjung Sabtu menuju ke Pasar Batu Enam untuk membeli barangan dapur.

Motosikal yang dinaiki mereka hangus terbakar dalam kejadian itu, manakala Yamaha RXZ berkenaan dilaporkan terbakar 80 peratus.


Tag :

Artikel Berkaitan