lightning-solid
Berita :
Kerajaan Terengganu Tanggung Keperluan RM15,000 Mangsa Nahas Babit RXZ
Kerajaan Terengganu Tanggung Keperluan RM15,000 Mangsa Nahas Babit RXZ
Noraini Jusoh
8 jam yang lepas
219

KUALA TERENGGANU, 3 Ogos – Kerajaan Terengganu akan menanggung keperluan semasa dianggarkan berjumlah RM15,000 bagi membantu keluarga seorang remaja yang mengalami kecederaan melecur hampir 60 peratus dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal Yamaha RXZ di Persimpangan Buluh Gading, Manir, Jumaat lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, bantuan itu akan disalurkan menerusi Tabung Darul Iman bagi meringankan beban keluarga mangsa sepanjang tempoh rawatan dan pemulihan.

Menurutnya, beliau telah mewakilkan Pegawai Khasnya bersama pihak Tabung Darul Iman untuk menziarahi keluarga mangsa bagi mendapatkan perkembangan terkini serta mengenal pasti keperluan yang diperlukan, memandangkan beliau berada di luar kawasan atas urusan kerja yang tidak dapat dielakkan.

“Pihak kami hadir untuk mendapatkan perkembangan keadaan mangsa, menyampaikan sedikit sumbangan serta memberikan sokongan kepada keluarganya.

“Kami mendoakan agar Ahmad Asyraf Talhah, 13, diberikan kesembuhan dan dipermudahkan segala urusan rawatan,” katanya.

Dalam lawatan itu, Maliaman turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada ibu mangsa, Syafirah Salim, 36, serta mendoakan agar wanita yang sedang hamil tujuh bulan itu bersama kandungannya terus dikurniakan kesihatan yang baik.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.50 pagi Jumaat lalu, Ahmad Asyraf mengalami kecederaan melecur hampir 60 peratus dari bahagian pinggang hingga ke bawah selepas motosikal Honda Beat yang dinaikinya bersama ibunya dirempuh sebuah motosikal Yamaha RXZ.

Ketika kejadian, Syafirah dalam perjalanan dari rumah mereka di Kampung Tanjung Sabtu ke Pasar Batu Enam untuk membeli barangan dapur.

Pelanggaran itu dipercayai menyebabkan berlaku tumpahan minyak sebelum kedua-dua motosikal terbakar.

Motosikal dinaiki Ahmad Asyraf bersama ibunya hangus sepenuhnya, manakala motosikal Yamaha RXZ dilaporkan terbakar kira-kira 80 peratus.

Ahmad Asyraf kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu. 

Remaja itu sebelum ini ditidurkan bagi membolehkan prosedur pembersihan luka melecur dilakukan.

Mangsa dilaporkan kembali sedar pada pagi Ahad, namun masih dipantau rapi berikutan kadar degupan jantung yang tinggi serta risiko jangkitan pada bahagian kulit yang terjejas.

Maliaman berkata, kerajaan negeri berharap bantuan yang disalurkan dapat membantu keluarga mangsa memberi tumpuan kepada proses rawatan dan pemulihan Ahmad Asyraf sehingga beliau kembali sembuh.



Tag :

Artikel Berkaitan