lightning-solid
Berita :
Kejayaan Azizulhasni Bukti Kegagalan Bukan Pengakhiran
Kejayaan Azizulhasni Bukti Kegagalan Bukan Pengakhiran
Rohayati Ripin
2 jam yang lepas
64

KUALA TERENGGANU, 2 Ogos – Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan kejayaan Dato' Muhammad Azizulhasni Awang @ Muda meraih pingat emas acara keirin lelaki di Sukan Komanwel Glasgow 2026 sebagai bukti bahawa kegagalan bukanlah pengakhiran, sebaliknya menjadi pemangkin untuk bangkit mencipta kejayaan lebih besar.

Beliau berkata, detik di Velodrom Sukan Komanwel New Delhi pada 2010 masih segar dalam ingatan rakyat Malaysia apabila Azizulhasni hampir menghadiahkan pingat emas buat negara, namun kejayaan itu terpaksa dilepaskan susulan keputusan perlumbaan.

Menurutnya, pengalaman pahit itu tidak mematahkan semangat atlet kelahiran Terengganu tersebut, sebaliknya dijadikan sumber kekuatan untuk terus berjuang di pentas antarabangsa.

"Seorang pejuang sejati tidak membiarkan sebuah kekecewaan menjadi pengakhiran. Azizulhasni memilih untuk terus mengayuh.

"Beliau menjadikan setiap cabaran sebagai kekuatan, setiap ujian sebagai pembakar semangat dan setiap kegagalan sebagai batu loncatan menuju kejayaan," katanya menerusi satu dilaman facebook rasmi beliau, semalam.

Ahmad Samsuri berkata, selepas 16 tahun, sejarah akhirnya berpihak kepada Azizulhasni apabila beliau berjaya menghadiahkan pingat emas acara keirin lelaki di Sukan Komanwel Glasgow 2026.

Katanya, kejayaan itu lebih bermakna kerana menjadi penutup tirai penampilan terakhir Azizulhasni di pentas Sukan Komanwel, sekali gus melengkapkan perjalanan cemerlang seorang legenda sukan negara.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada Azizulhasni atau lebih mesra dikenali sebagai "Jijoe", sambil menyifatkan perjalanan atlet itu sebagai inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia.

"Perjalanan Datuk membuktikan bahawa kejayaan bukan sekadar tentang kemenangan, tetapi tentang keberanian untuk bangkit, terus percaya dan tidak pernah menyerah.

"Terima kasih The Pocket Rocketman, Malaysia berbangga denganmu," tambahnya.


Tag :

Artikel Berkaitan