lightning-solid
Berita :
Sumbangan Terbesar Selesaikan Isu Tanah FELDA, Dr Azman Ucap Selamat Bersara Kepada Pegawai Kewangan Terengganu
Sumbangan Terbesar Selesaikan Isu Tanah FELDA, Dr Azman Ucap Selamat Bersara Kepada Pegawai Kewangan Terengganu
Hidayah Azlin
4 jam yang lepas
215

KUALA TERENGGANU, 31 Julai– Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu,  Dato’ Dr. Azman Ibrahim merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan selamat bersara kepada Pegawai Kewangan Negeri Terengganu, YB Dato’ Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak yang menamatkan perkhidmatannya pada hari ini.

Dr. Azman menyifatkan tarikh 31 Julai 2026 sebagai detik signifikan bagi menandakan berakhirnya perkhidmatan cemerlang Tun Ahmad Faisal dalam perkhidmatan awam negeri Terengganu yang merentasi tempoh lebih tiga dekad.

Menurut beliau, Tun Ahmad Faisal merupakan 'regu' penting dan rakan strategik utama beliau, khususnya ketika menjawat jawatan Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri Terengganu dalam Jawatankuasa Task Force Penyelesaian Tanah FELDA.

"Tandatangan beliaulah yang mengeluarkan perintah penguatkuasaan bagi pelanggaran Akta Kanun Tanah Negara (KTN), termasuk mengarahkan pengeluaran Notis 425 KTN kepada FGV.

"Terima kasih Dato’ Tun yang mengakhiri khidmat ketika isu tanah FELDA kini berada di ambang penyelesaian. Peranan dan ketegasan beliau akan dikenang sebagai antara tugas terbesar yang pernah dipikul sepanjang perkhidmatan awam negeri," katanya dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya pada Jumaat.

Menceritakan latar belakang figura berkenaan bagi mengelakkan kekeliruan awam, Dr. Azman turut memperjelaskan bahawa Tun Ahmad Faisal bukanlah saudara kandung kepada mana-mana tokoh politik tanah air mahupun memegang jawatan Ketua Penerangan mana-mana parti politik.

Sebaliknya, beliau merupakan seorang pegawai berdedikasi yang membina kerjaya melalui perkhidmatan awam sebagai Pegawai Tadbir Negeri (TCS) selama lebih 30 tahun.

Terdahulu, Tun Ahmad Faisal dilantik secara rasmi sebagai  Pegawai Kewangan Negeri Terengganu bermula 10 Januari 2026, satu kenaikan pangkat yang disifatkan sangat wajar berteraskan integriti serta pengalaman luas beliau dalam pentadbiran negeri.

Pengunduran beliau daripada arena perkhidmatan awam hari ini meninggalkan legasi kepimpinan yang kukuh, khususnya dalam usaha menyelesaikan isu pemilikan dan pentadbiran tanah FELDA demi kesejahteraan rakyat Terengganu.


Tag :

Artikel Berkaitan