lightning-solid
Berita :
Dusun Warisan Setiu Tawar Pengalaman Bermalam di Tengah Kebun
Dusun Warisan Setiu Tawar Pengalaman Bermalam di Tengah Kebun
Ariss Alias
1 jam yang lepas
27

SETIU, 4 Ogos -Bermula sebagai sebuah dusun buah-buahan, kini Dusun Warisan di Kampung Pelong  berkembang menjadi destinasi pelancongan desa yang menawarkan pengalaman bermalam dalam suasana alam semula jadi. 

Pengurus Dusun Warisan, Nur Faradibbah, berkata kawasan seluas kira-kira 20 ekar itu pada asalnya dibangunkan untuk penanaman pelbagai spesies pokok buah-buahan sebelum dibuka kepada pengunjung susulan permintaan orang ramai yang ingin menikmati suasana dusun dan sungai. 


"Pada awalnya kami hanya menanam pelbagai jenis pokok buah-buahan. Apabila semakin ramai yang ingin datang menikmati suasana alam semula jadi di sini, kami mengambil keputusan menawarkan pakej penginapan supaya lebih ramai dapat merasai pengalaman bercuti dalam suasana kampung yang tenang," katanya kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman, di sini, hari ini.

Mengulas lebih lanjut,beliau berkata Dusun Warisan menggabungkan kebun buah-buahan, sungai semula jadi, tapak perkhemahan dan homestay dalam satu lokasi, sekali gus menawarkan pengalaman berbeza kepada pengunjung.
Selain menjadi lokasi percutian, katanya, dusun itu turut berperanan sebagai medium pendidikan dengan memberi peluang kepada generasi muda mengenali pelbagai spesies pokok buah-buahan tempatan yang semakin sukar ditemui.

Nur Faradibbah berkata Dusun Warisan menawarkan lima pilihan pakej iaitu Daytrip, Camping (Night Trip) bagi pengunjung yang membawa khemah sendiri, pakej sewa khemah untuk lawatan sehari dan bermalam serta pakej homestay yang sesuai untuk keluarga.

Katanya, ketika ini sebuah daripada tiga unit homestay telah beroperasi, manakala dua lagi berada di peringkat akhir persiapan sebelum dibuka kepada pengunjung.

Beliau berkata antara aktiviti yang paling mendapat sambutan ialah berkelah, mandi-manda di sungai yang cetek dan berarus perlahan serta menikmati buah-buahan yang masak di dusun secara percuma ketika musimnya.

Menurut beliau, Dusun Warisan menerima kunjungan pelancong dari seluruh negara termasuk rombongan sekolah dan institusi pengajian tinggi, dengan kehadiran paling ramai direkodkan pada hujung minggu dan musim cuti persekolahan.

"Berdasarkan maklum balas yang diterima, pengunjung menghargai suasana tenang yang dikelilingi kehijauan pokok buah-buahan dan sungai semula jadi, sekali gus menjadikan kawasan ini lokasi sesuai untuk berehat daripada kesibukan bandar," katanya.

Beliau berharap Dusun Warisan akan terus menjadi antara destinasi pelancongan desa pilihan di Setiu, sekali gus membantu mempromosikan keindahan alam semula jadi daerah itu dan merancakkan ekonomi komuniti setempat.


Tag :

Artikel Berkaitan