KUALA NERUS, 7 November – Siapa sangka, pendaftaran menerusi Portal Jodoh Darul Iman tahun lalu akhirnya menemukan Mohd Arabi Abd Somat, 58, dengan pasangan hidupnya, Siti Nur Fatimah Muhd Zin, 48.
Pasangan itu selamat disatukan dalam Majlis Walimatulurus Perdana Terengganu 2026 di Dewan Jubli Perak, Pusat Pentadbiran Kuala Nerus, hari ini.
Mohd Arabi berkata, dia mengambil keputusan mendaftar menerusi portal yang diperkenalkan kerajaan negeri itu selepas dimaklumkan mengenai kemudahan mencari pasangan yang disediakan.
Menurutnya, usaha tersebut membuahkan hasil apabila Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) mempertemukannya dengan Siti Nur Fatimah pada Julai lalu.

“Pertemuan pun tak panjang. Jumpa setelah YPKT pertemukan pada bulan Julai lepas, lepas itu kami teruskan perhubungan dengan bercerita mengenai keluarga masing-masing,” katanya ketika ditemui pada majlis berkenaan.
Bapa kepada empat anak itu yang pernah mendirikan rumah tangga sebanyak dua kali sebelum ini berkata, dia bersyukur kerana perkahwinan baharunya selepas kematian isteri terdahulu mendapat restu dan penerimaan keluarga kedua-dua pihak.

“Alhamdulillah, dengan adanya bantuan kerajaan, kos perkahwinan dapat dijimatkan, termasuk dari segi pakaian, tempat jamuan dan sebagainya.
“Di situ kita dapat lihat kecaknaan kerajaan negeri terhadap rakyat,” katanya.

Sementara itu, pasangan Norliana Yahya, 45, dari Kampung Gong Kiat dan Sharafuddin Mohamed, 59, dari Kampung Nibung turut mengakui program pernikahan beramai-ramai anjuran YPKT itu banyak membantu mereka menjimatkan perbelanjaan.
Menurut mereka, penyertaan dalam program berkenaan hanya memerlukan komitmen sebanyak RM1,000, sekali gus mengurangkan kos berbanding mengadakan majlis perkahwinan secara sendiri.

“Kami merancang untuk mengadakan kenduri arwah selepas ini bagi meraikan perkahwinan bersama keluarga dan kenalan,” katanya.
