lightning-solid
Berita :
Rosli Latif Dilantik Pegawai Kewangan Negeri Terengganu
Rosli Latif Dilantik Pegawai Kewangan Negeri Terengganu
Adli Mohamad
1 jam yang lepas
47

KUALA TERENGGANU, 4 Ogos – Pegawai Kewangan Negeri Terengganu yang baharu, Dato’ Rosli Latif diperkenalkan secara rasmi dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Warga Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham berkata, pelantikan Rosli berkuat kuasa mulai 1 Ogos lalu.

“Semoga beliau terus cemerlang dalam melaksanakan amanah demi kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat.

“Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada mantan Pegawai Kewangan Negeri Terengganu, Dato’ Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak atas segala jasa, bakti, kepimpinan dan sumbangan beliau sepanjang Mei hingga Ogos 2026,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan dan Penyampaian Apresiasi Pekerja Cemerlang Bulanan Warga Kerja Wisma Darul Iman. 

Dalam perkembangan sama, Mohd Azmi turut mengucapkan tahniah kepada Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato’ Jusman Ibrahim atas pelantikannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif.

Menurutnya, pelantikan rasmi menerusi watikah daripada Ketua Setiausaha Negara itu merupakan satu pengiktirafan serta kepercayaan kepada beliau untuk memacu pelaksanaan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam di peringkat negeri.

“Pelantikan itu merupakan satu pengiktirafan dan kepercayaan untuk memacu pelaksanaan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam di Negeri Terengganu,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Azmi turut menzahirkan penghargaan kepada warga Wisma Darul Iman yang telah bersara sepanjang Mei hingga Ogos 2026.

“Segala khidmat, pengorbanan dan sumbangan tuan-tuan dan puan-puan amat dihargai serta akan terus dikenang,” katanya.


Tag :

Artikel Berkaitan