lightning-solid
Berita :
222 Motosikal Peserta RXZ Members 8.0 dipulangkan Selepas Selesai Tindakan Undang-Undang
222 Motosikal Peserta RXZ Members 8.0 dipulangkan Selepas Selesai Tindakan Undang-Undang
Mastura Jamal Din
1 jam yang lepas
18

KUALA TERENGGANU, 4 Ogos – Sebanyak 222 motosikal yang disita semasa penganjuran RXZ Members 8.0 sebelum ini diserahkan semula kepada pemilik masing-masing selepas semua proses dokumentasi dan tindakan undang-undang diselesaikan mengikut prosedur ditetapkan.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin  berkata, proses penyerahan semula motosikal itu dilaksanakan secara berperingkat pada 2 dan 3 Ogos lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu dengan kerjasama penuh daripada semua pemilik yang terlibat.

Katanya, sepanjang proses berkenaan, kesemua pemilik memberikan kerjasama baik selain mengakui kesalahan lalu lintas yang dilakukan.

"Mereka turut memberi komitmen serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama pada penganjuran RXZ Members pada masa akan datang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, hasil semakan mendapati kebanyakan motosikal yang disita tidak mempunyai kaitan dengan sebarang kes jenayah seperti kenderaan curi atau menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Sebaliknya, tindakan sitaan dibuat berikutan pelbagai kesalahan teknikal dan pelanggaran undang-undang jalan raya termasuk pengubahsuaian ekzos, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi.

Katanya lagi, selain itu kesalahan disebabkan tiada cermin sisi, tiada lesen memandu yang sah, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, penggunaan aksesori yang tidak sempurna, ketiadaan brek belakang serta kesalahan menunggang di bawah umur.

Katanya, semua motosikal hanya diserahkan semula selepas saman berkaitan dikeluarkan dan proses dokumentasi disempurnakan sepenuhnya mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Kesemua motosikal turut dibawa keluar dari kawasan simpanan menggunakan kenderaan pengangkut (loader) bagi memastikan aspek keselamatan serta pematuhan undang-undang terus dipelihara," katanya.

Beliau menegaskan, Polis Terengganu sentiasa bersedia memberikan kerjasama terhadap sebarang penganjuran aktiviti permotoran yang sihat dan berhemah.

Bagaimanapun, katanya, pihak polis tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan jalan raya serta pematuhan undang-undang demi memastikan setiap program permotoran dapat berlangsung dalam suasana yang lebih selamat, teratur dan bertanggungjawab.



Tag :

Artikel Berkaitan