lightning-solid
Berita :
Ikan Bilis Setiu Jadi Pilihan Khairul Aming
Ikan Bilis Setiu Jadi Pilihan Khairul Aming
Ariss Alias
1 jam yang lepas
87

SETIU, 5 Ogos-Ikan bilis dari Setiu, Terengganu menjadi pilihan Khairul Aming sebagai bahan utama sambal terbaharunya yang bakal diperkenalkan tidak lama lagi. 

Khairul Aming berkata, pemilihan ikan bilis itu dibuat bagi menghasilkan sambal dengan cita rasa berbeza, selain menggunakan lebih banyak bahan berbanding Sambal Nyet Berapi. 

Beliau berkata, sepanjang enam tahun berniaga, pihaknya hanya menghasilkan satu jenis sambal iaitu Sambal Nyet Berapi sebelum bersedia memperkenalkan versi baharu itu. 

"Untuk belajar mengenai ikan bilis, kami turun ke Setiu, Terengganu bagi melihat sendiri proses nelayan tempatan turun ke laut," katanya menerusi video yang dimuat naik di laman Facebook Rasapop. 


Katanya, seawal selepas waktu Subuh, beliau bersama nelayan tempatan berangkat ke tengah laut bagi melihat kawasan tumpuan ikan bilis serta memahami cabaran yang dihadapi mereka.

Menurutnya, pengalaman itu memberi penghargaan terhadap usaha nelayan yang memerlukan tenaga dan ketahanan fizikal dalam mendapatkan hasil laut berkenaan.

Beliau berkata, ikan bilis yang diperoleh akan digoreng sehingga garing bagi menghasilkan tekstur yang sesuai selain membolehkan aromanya meresap ke dalam minyak masakan. 

Khairul Aming berkata, sambal baharu itu turut berbeza daripada Sambal Nyet Berapi apabila menggunakan majoriti cili hijau berbanding cili merah. 

Khairul Aming atau nama sebenarnya Khairul Amin merupakan usahawan, pencipta kandungan dan personaliti media sosial Malaysia yang terkenal menerusi video resipi masakan. Beliau mengasaskan jenama Sambal Nyet dan Dendeng Nyet, selain membuka restoran Rembayung di Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 6 Januari lalu.


Tag :

Artikel Berkaitan