10 Notis Dikeluarkan Kepada Peniaga, Disyaki Naikkan Harga Peranti Elektronik

KUALA TERENGGANU, 28 Januari - Sebanyak 10 notis di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 telah dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu kepada peniaga perkakasan komputer, telekomunikasi dan peranti elektronik kerana disyaki menaikkan harga jualan.

Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia berkata, notis tersebut dikeluarkan kepada dua peniaga di bandar raya ini, Kemaman dan Besut masing-masing tiga serta Dungun (dua).

Katanya, pemeriksaan di bawah Ops Catut 8.0 melibatkan peniaga di seluruh negeri yang menjual peralatan elektronik seperti set komputer, komputer riba, mesin pencetak, tablet dan telefon bimbit.

"Notis yang dikeluarkan mewajibkan peniaga untuk memberi maklum balas dan maklumat perincian harga jualan dan kos barangan bagi tujuan siasatan lanjut, sama ada berlaku pengambilan keuntungan berlebihan atau sebaliknya.

"Peniaga berkenaan diberi tempoh masa selama dua hari untuk membekalkan kesemua maklumat tersebut, " ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, Ops Catut 8.0 yang dilaksanakan mulai 26 Januari sehingga 8 Februari 2021 bertujuan membendung salah laku atau manipulasi harga oleh peniaga susulan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

"Peniaga diingatkan untuk tidak mengambil kesempatan dalam situasi sekarang dengan menaikkan harga barangan sesuka hati demi mengaut keuntungan berlebihan. 

"Peniaga yang ingkar dalam perkara ini akan berhadapan dengan tindakan tegas di bawah Sekyen 14 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011," ujarnya.

Katanya, jika sabit kesalahan individu boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, manakala bagi syarikat boleh didenda  sehingga RM500,000.

"Pihak KPDNHEP mengalu-alukan kerjasama daripada para pengguna untuk menyalurkan sebarang maklumat salah laku atau aduan melalui saluran yang disediakan bagi memastikan para peniaga sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan," ujarnya.