Berita :
Langgar Syarat Program, MBKT Kompaun Penganjur
Langgar Syarat Program, MBKT Kompaun Penganjur
Adli Mohamad
7 jam yang lepas
2995

KUALA TERENGGANU, 24 Mei - Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) telah mengeluarkan kompaun terhadap penganjur sebuah program hiburan di sini selepas didapati melanggar syarat dan garis panduan yang ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut. 

Datuk Bandar MBKT, Lizan Che Mat berkata, tindakan itu diambil selepas pihaknya meneliti penganjuran program berkenaan, termasuk susulan tular video memaparkan aksi terkinja-kinja yang mencetuskan pelbagai reaksi orang ramai.

Menurut beliau, kompaun telah dikeluarkan kerana terdapat kesalahan di bawah syarat lesen hiburan yang diberikan kepada penganjur.

“MBKT telah keluarkan kompaun kerana ada kesalahan.

“Lesen hiburan yang dikeluarkan di bawah Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2002 adalah tertakluk kepada syarat dan sekatan yang dikenakan,” katanya.

Beliau berkata, mana-mana pemegang lesen yang melanggar syarat dan sekatan tersebut melakukan kesalahan di bawah subseksyen 11(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2002.

Katanya, jika disabitkan kesalahan, pemegang lesen boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Lizan berkata, MBKT memandang serius sebarang pelanggaran syarat penganjuran, khususnya melibatkan program hiburan yang boleh menimbulkan keresahan masyarakat.

Menurutnya, setiap kelulusan yang diberikan kepada penganjur bukan bermaksud program boleh dijalankan tanpa kawalan atau di luar syarat ditetapkan pihak berkuasa tempatan.

“Setiap penganjur perlu bertanggungjawab memastikan program berjalan mengikut syarat lesen.

“Kalau syarat dilanggar, tindakan boleh diambil mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua penganjur supaya tidak mengambil mudah syarat kelulusan, termasuk aspek ketenteraman awam, keselamatan, perjalanan program serta sensitiviti masyarakat setempat.

Katanya, MBKT tidak menghalang penganjuran program yang memberi manfaat kepada orang ramai dan ekonomi setempat, namun ia mesti dibuat secara tertib serta mematuhi undang-undang.

“Program boleh dibuat, tetapi mesti ikut peraturan.

“MBKT tidak akan berkompromi jika berlaku pelanggaran syarat yang telah ditetapkan,” katanya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan