Jalur Gemilang
Berita :
"Takut Tidur Seorang Diri Di Rumah Sebab Anak Kerja" - Gelandangan
"Takut Tidur Seorang Diri Di Rumah Sebab Anak Kerja" - Gelandangan
Mohd Irsyadi Abu Bakar
14 jam yang lepas
281

KUALA TERENGGANU, 1 Oktober - Itu antara alasan yang diberikan salah seorang gelandangan, Rosnah (bukan nama sebenar), yang menjadikan Terminal Bas Kuala Terengganu sebagai tempat tidurnya setiap malam selama hampir dua bulan.

Hakikatnya, warga emas berusia sekitar 60-an itu memiliki sebuah rumah sewa yang didiami bersama anaknya, ini menurut kata-katanya ketika ditemui dalam operasi bersepadu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu, awal pagi tadi.

Menurut Pengarah JKM Terengganu, Ismail Kasan, alasan-alasan yang sering yang dihadapi penguatkuasa dalam isu ini, turut menyukarkan usaha melakukan proses pemindahan dan pengurusan gelandangan.

"Kalau kita lihat di Kuala Terengganu ini, kebanyakan jadi gelandangan disebabkan pilihan mereka.

"Daripada penilaian awal kita ini, kita dapati bahawa sebenarnya ada di antara mereka mempunyai rumah di sekitar Kuala Terengganu, dan mereka hanya selesa berada di stesen bas ini untuk mungkin orang kata ketenangan dan sebagainya. Mungkin keadaan rumah mereka tidak memberi keselesaan.

"Antara mereka ada yang kita dapati bahawa anaknya bekerja malam. Jadi, ibu tiada siapa yang menjaga dan mereka lebih selesa berada di sini, mungkin keadaan di sini ramai (orang) yang ada. Itu mungkin memberi mereka rasa selamat di sini," katanya.

Namun, Ismail memaklumkan, bagi kes-kes seperti ini pihaknya akan membuat penilaian dan mencari penyelesaian untuk membantu mereka.
Beliau turut menyeru orang awam untuk sentiasa melaporkan kepada pihak yang berwajib berkaitan isu gelandangan.

"Keduanya supaya orang awam juga sedar, tidak membantu mereka-mereka ini sehingga mereka selesa bergelandangan. Jadi, kita hendak cari penyelesaian yang terbaik.

"Pihak kerajaan memang memandang serius isu-isu seperti inilah yang boleh menjejaskan orang awam dan juga industri terutamanya pelancongan," jelasnya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan