Jalur Gemilang
Berita :
Projek Tebatan Banjir Sungai Jertih Beri Manfaat  Keselamatan Penduduk
Projek Tebatan Banjir Sungai Jertih Beri Manfaat Keselamatan Penduduk
Mastura Jamal Din
13 jam yang lepas
163

BESUT, 21 Oktober - Usaha mengurangkan risiko banjir kilat di sekitar Jertih terus diberi perhatian menerusi pelaksanaan projek tebatan banjir Sungai Jertih yang dijangka memberi manfaat kepada penduduk, khususnya di kawasan yang sering berdepan masalah limpahan air ketika hujan lebat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Dr. Riduan Mohamad Nor berkata, projek berkenaan merupakan antara langkah penting dalam memperkukuh keselamatan penduduk selain meningkatkan keupayaan sistem saliran sungai bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).

Menurutnya, terdapat beberapa kawasan yang dikenal pasti mudah dinaiki air apabila hujan berterusan, termasuk Kampung Tanduk dan kawasan berhampiran.

Justeru, pelaksanaan projek itu diharap dapat membantu melancarkan aliran air hujan ke muara sungai, sekali gus mengurangkan risiko air bertakung serta melimpah ke kawasan penempatan.

“Antara matlamat utama projek ini adalah untuk memastikan aliran air hujan dapat disalurkan dengan lebih lancar ke muara sungai.

“Ini penting kerana terdapat kawasan yang mudah dinaiki air apabila hujan lebat, termasuk sekitar Kampung Tanduk dan kawasan berhampiran,” katanya.

Terdahulu, Dr. Riduan sempat meninjau lokasi projek tambatan banjir di Sungai Jerteh serta pembinaan jambatan baharu dari Masjid Kayu hingga ke Kampung Mak Sara.

Turut bersama dalam tinjauan ini ialah pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi melihat perkembangan projek yang bakal memberi manfaat kepada penduduk setempat.
Beliau berkata, usaha menangani masalah banjir bukan sekadar melibatkan pembangunan infrastruktur, sebaliknya mencerminkan kepentingan perancangan jangka panjang dalam melindungi kesejahteraan rakyat.

Katanya, projek seumpama itu juga penting bagi mengurangkan kebimbangan penduduk setiap kali hujan lebat, selain membantu memastikan aktiviti harian dan kegiatan ekonomi setempat tidak mudah terjejas akibat banjir.

Dalam masa sama, pelaksanaan projek tebatan berkenaan turut memberi nilai tambah kepada persekitaran bandar apabila kawasan tebing sungai menjadi lebih kemas dan teratur.

Dr.Riduan berkata, aspek penyelenggaraan serta penjagaan sungai perlu dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan infrastruktur yang dibangunkan dapat berfungsi dengan baik dan memberikan manfaat dalam tempoh panjang.

“Pembangunan seperti ini bukan hanya melibatkan kerja fizikal, tetapi turut berkait dengan keselamatan, keselesaan dan kesejahteraan penduduk.

“Kita berharap usaha ini dapat memberikan manfaat kepada rakyat, khususnya mereka yang tinggal di kawasan berisiko banjir,” katanya.

Beliau berkata, usaha berterusan menangani isu banjir penting bagi memastikan penduduk dapat menjalani kehidupan dengan lebih selesa, selain menyokong pembangunan dan kelancaran aktiviti ekonomi di sekitar Jertih.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan