KUALA NERUS, 21 Oktober - Pasukan ping-pong Kontinjen Pegawai Tadbir Negeri (PTN) Terengganu tampil garang dalam saingan Sukan Empat Negeri 2026 selepas merampas kedudukan Johan dalam acara berkenaan.
Terengganu turut merekodkan keputusan memuaskan dalam kesemua perlawanan yang dipertaruhkan sebentar tadi dengan pungutan 9 mata keseluruhan kepada pasukan.

Kempen Terengganu bermula dengan langkah kanan apabila menundukkan kontinjen Kedah 5-0 pada perlawanan pembukaan, sekaligus menyuntik tonik tambahan kepada pasukan untuk meneruskan saingan seterusnya.
Momentum kemenangan tersebut diteruskan dengan aksi dominan tanpa balas apabila Terengganu menyapu bersih kemenangan 5-0 ke atas Johor, sebelum melengkapkan kejayaan dengan menewaskan Kelantan 4-1.

Keputusan penuh kedudukan akhir acara ping-pong menyaksikan Terengganu di podium teratas, diikuti Johor sebagai Naib Johan dengan 6 mata.
Tempat ketiga pula menjadi milik Kedah yang meraih 3 mata, manakala Kelantan terpaksa berpuas hati di kedudukan keempat.
Saingan hari keempat Sukan Empat Negeri 2026 ini diteruskan lagi dengan acara bola tampar yang berlangsung di Kompleks Sukan Negeri Terengganu (KSNT), Gong Badak dan dijangka untuk tamat petang ini.