Oleh : Hidayah Azlin
SETIU, 19 Jun – Tiga belas kawah gulai lembu yang disediakan ‘ngam-ngam’(cukup) apabila mendapat sambutan luar biasa dari pengunjung di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri(DUN) Jabi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim mengucapkan ribuan terima kasih kepada Majlis Tindakan Dun, Pemuda, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Unit Amal, Muslimat, Ameerah dan penduduk kampung yang sangat berdedikasi bertungkus-lumus diperingkat masing-masing.
Katanya, kemeriahan sambutan Rumah Terbuka ini hasil gabungan kerjasama jentera kerajaan dan parti dengan semangat gotong-royong samada persiapan tempat, penyediaan makanan dan sebagainya.
“ Matlamat Rumah Terbuka Aidilfitri bukan hanya makan dan berapa jenis juadah yang disediakan malah kita ingin menyemarakkan semangat kerjasama, silaturrahim, peluang jumpa mata dan memupuk rasa bersama antara kita.
“ Majlis Jabi biasa-biasa saja, tidak hebat apa dengan menu utama gulai kawah, ketupat tapai sahaja yang dibuat secara bergotong-royong dari sedia tempat, bungkus ketupat tapai, sembelih lembu, potong daging, gulai kawah, tanak nasi. Hanya beli barang-barang lepas itu pakat-pakat buat dalam kuantiti kena banyok sebab rakyat kita ramai dan Alhamdulillah, semua yang hadir dapat makan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dun Jabi di Kampung Bukit Tanah, Jabi, sabtu lalu.
Turut hadir Ahli Parlimen Setiu, Ustaz Shaharizukirnain Abdul Kadir, Exco Kerajaan Negeri, Nurkhuzaini Ab Rahman, Ahli Parlimen Besut, Dr Riduan Mohd Nor, Penyelaras Langkap, Azmi Maarof dan Timbalan Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Sazali Mohd Noor.
Azman turut berterima kasih kepada semua pengunjung yang sudi hadir dan memohon maaf di atas sedikit sebanyak kekurangan sepanjang perjalanan majlis tersebut.
“ Mohon maaf atas sebarang kekurangan dan tentu sekali ambe(saya) tidak sempat bersalaman semua. Kira kita sebarkan salam di alam maya dan sekali lagi terima kasih semua,” ujar beliau.