MARANG, 24 Februari – Seramai 1,500 penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong yang terjejas pendapatan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerima sumbangan RM100.
Mereka yang terpilih menerima Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT) itu antaranya penjaja makanan, pekerja kedai gunting, pengusaha salon dan pekerja kedai basuh kereta.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah, berkata walaupun nilaian agihan itu tidak besar, tetapi ia cukup bermakna kepada mereka yang memerlukan, terutama yang terputus punca pendapatan.
“Dengan nilaian itu, sekurang-kurang dapat meringankan beban untuk membeli barangan keperluan dapur.
"Kita sedar sekarang ini terlalu ramai yang tidak dapat meneruskan pekerjaan mereka terutama bagi peniaga-peniaga yang tidak dapat memeruskan jualan mereka,” katanya kepada pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman baru-baru ini.
Bantuan itu diagihkan secara berperingkat-peringkat mengikut mukim.
Seorang peniaga Kedai Urutan Tradisional (SPA) dari Kampung Surau Haji Daud, Norhayati Mohammed, 39, berkata, bantuan itu sangat bermakna kerana sepanjang PKP peniagaan mengalami kemerosotan teruk.
"Saya sangat bersyukur dengan bantuan yang diberikan dan ucapan terima kasih kepada pihak YB Ustaz Mohd Nor Hamzah dan pihak kerajaan yang telah menyalurkan sumbangan ini kepada saya
"Dengan pemberian ini dapatlah saya membeli barangan alatan yang diperlukan lagi dalam kerja SPA ini." katanya ketika ditemui dalam program penyerahan tersebut