Berita :
Selepas 40 Tahun, Tuntutan Terengganu Berjaya-Isu Tanah FELDA Selesai
Selepas 40 Tahun, Tuntutan Terengganu Berjaya-Isu Tanah FELDA Selesai
Noraini Jusoh
2 jam yang lepas
61

KUALA TERENGGANU, 18 Mac - Kerajaan Negeri Terengganu dan FELDA telah memeterai Perjanjian Terma-Terma Utama Bagi Penyelesaian Tanah Ladang Komersial (Tidak Berpeneroka) oleh FELDA di Terengganu yang berlangsung di Kementerian Kewangan, Putrajaya, hari ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham berkata, beberapa siri rundingan yang telah diadakan antara Kerajaan Negeri Terengganu dengan FELDA telah berhasil memuktamadkan terma-terma utama bagi menyelesaikan isu yang telah berlarutan melebihi tempoh 40 tahun.

"Berdasarkan kepada hasil rundingan tersebut, FELDA akan mengemukakan permohonan pemberimilikan tanah kepada Pihak Berkuasa Negeri dalam tempoh yang dipersetujui selepas Perjanjian ditandatangani.

"Kerajaan Negeri Terengganu akan memproses permohonan pemberimilikan tersebut dan tertakluk kepada kelulusan Pihak Berkuasa Negeri, mengeluarkan
hak milik kepada FELDA dengan dikenakan bayaran premium dan cukai tanah selaras dengan Kanun Tanah Negara dan Kaedah-Kaedah Tanah Terengganu 1966," ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, Kerajaan Negeri Terengganu komited untuk memberikan kerjasama yang terbaik kepada pihak FELDA bagi melancarkan proses pemberian hak milik kesemua lot-lot tanah tersebut.

"Terima kasih kepada semua pihak yang telah bekerja keras bagi merungkai dan mencari penyelesaian kepada isu yang telah berlarutan sejak sekian lama," ujarnya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan