KUALA TERENGGANU, 22 Oktober – Kerajaan Terengganu yakin sasaran 200,000 pengunjung ke Himpunan Ruminan 2026 di Dataran Pekan Jabi mampu dicapai berdasarkan rekod sambutan terhadap program berasaskan haiwan ternakan sebelum ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, penganjuran julung kali dengan nama itu membawa konsep lebih luas dengan menghimpunkan pelbagai spesies haiwan, berbanding hanya menumpukan kepada lembu.
Selain 100 ekor lembu, katanya, pengunjung berpeluang melihat kambing dan rusa, selain tarikan lain termasuk gajah, unta serta alpaka.
“Insya-Allah, kita yakin himpunan yang diadakan ini akan menyaksikan limpahan kunjungan daripada rakyat seluruh peringkat bukan hanya dari Terengganu tetapi juga dari negeri jiran.
“Sasaran 200,000 pengunjung kalau melihat kepada rekod yang lepas ia tidak sukar untuk dicapai, jadi hari pertama pada pagi ini anak-anak masih berada di sekolah dan ramai yang masih bekerja namun esok dan lusa kita akan lihat limpahan pengunjung itu,” katanya.

Majlis itu dirasmikan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Mohd Nor Hamzah.
Mengulas lanjut, Azman berkata, konsep program itu boleh dikembangkan pada tahun-tahun akan datang sebagai penjenamaan baharu kepada Himpunan Lembu Sado.

“Dalam masa yang sama program ini juga turut membuka gerai-gerai jualan serta terdapat pameran daripada jabatan dan agensi kerajaan sebagaimana biasa,” katanya
