KUCHING, 15 Ogos- Sejarah tercipta buat kontinjen Terengganu apabila skuad tenpin boling meraih pingat emas dalam acara perseorangan lelaki menerusi Wan Muhammad Zarif Ikram Wan Mazlan di Sukan Malaysia (SUKMA) XXI, semalam.
Menurut ketua jurulatih, Mohd Syafiq Suhaimi, ini merupakan pingat emas pertama yang diperolehi skuad tenpin boling Terengganu sepanjang 17 tahun menyertai SUKMA.
"Tahun 2008, Terengganu kali pertama menghantar anak jati untuk sukan boling, ketika itu sayalah atlet kelompok pertama dan sekarang saya dipertanggungjawabkan untuk SUKMA kali ini, Alhamdulillah kini kita dapat.
"Saya mengikuti SUKMA dari tahun 2008 dan berharap ada yang dapat bawa pulang emas dari sukan boling.
"Jadi, saya sangat berterima kasih kepada semua yang terlibat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyampaian pingat yang disempurnakan Timbalan Ketua Kontinjen, Dato' Rosli Latif di Megalanes Sarawak, semalam.
Tambahnya, kemenangan itu sebenarnya amat mengejutkan.
"Saya tidak sangka, boling susah untuk kita jangka kerana keadaan 'lane' berbeza-beza.
"Masa latihan semalam pun, saya masih tidak nampak dia mampu dapatkan emas dan hari ini, setelah balingan ke sebelas baru kita mampu mengejar.
"Memang saya diamanahkan untuk dapatkan emas, tetapi saya sasarkan acara berpasukan kerana kekuatan kita di situ," katanya.
Tidak lupa, beliau sempat memohon rakyat negeri Terengganu untuk terus mendoakan pasukan tenpin boling bagi mencipta kejutan pada acara regu dan berpasukan dalam tempoh lima hari mendatang.