200 Kanak-Kanak Berkhatan Beramai-Ramai Di Besut



Oleh: Jusmawari

BESUT 25 November– Bermulanya cuti persekolahan yang panjang pada penghujung tahun, seakan bermulanya pula musim berkhatan bagi kanak-kanak sebagai permulaan memasuki alam dewasa.

Kini menjadi kebiasaan juga apabila majlis berkhatan diadakan secara beramai-ramai, suatu pendekatan yang dilihat dapat menjimatkan masa dan perbelanjaan ibu bapa di samping menggembirakan kanak-kanak.

Semalam, seramai 200 orang peserta kanak-kanak khatan menyertai acara khatan beramai-ramai anjuran Penyelaras Parlimen Besut bertempat di Kompleks Pendidikan Annur Besut, Alor Belanga Jertih , Terengganu.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN)Jertih  Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad, berkata, majlis terbabit mendapat sambutan menggalakkan daripada ibu bapa dan pihaknya akan meneruskan majlis seperti itu pada masa depan.

"Terima kasih diucapkan kepada semua yang membantu dan menyokong Alhamdulillah,syukur kepada Allah yang masih memberikan kita nikmat iman dan masa.

"Saya juga mohon supaya acara menyuap pulut kuning atau pulut semangat" tidak disalah anggap dan bukan bertujuan untuk pemujaan tetapi sekadar menaikkan semangat peserta-peserta khatan katanya,”katanya ketika merasmikan majlis tersebut.

Turut hadir, Ketua Pemuda Besut, Mohd Asriazwa Husin dan dibantu oleh anggota amal bagi memastikan majlis berlangsung dengan jayanya.


Majlis bermula dengan perarakan dan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW yang diiringi pelajar Tahfiz Annur Besut bersama ibu bapa peserta dan dimeriahkan lagi dengan semburan air paip dari jentera  Jabatan  Bomba dan Penyelamat Besut,

Sementara itu, Ustaz Doktor Riduan Mohamad Nor selaku Pengarah Program yang dibantu oleh 10 orang doktor dari Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia(PAPISMA) berkata program ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada ibu bapa sekaligus meringankan beban kos mereka dalam perbelanjaan kos berkhatan.

 “Jadi, saya berharap program ini dapat diteruskan pada masa akan datang dalam mendekatkan lagi pemimpin dengan rakyat,”ujarnya.




Tag: