SETIU, 8 Jun – Suasana di tapak projek pembinaan Jeti Nelayan Pengkalan Beris Tok Ku bertukar gempar apabila kehadiran ‘tetamu tidak diundang’ dikesan sedang leka memerhatikan gerak-kerja buruh di kawasan berkenaan baru-baru ini.
Kehadiran seekor buaya yang muncul di permukaan air itu disedari oleh pekerja binaan ketika kerja-kerja struktur jeti sedang giat dijalankan.
Kejadian unik namun mendebarkan itu dikongsikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim menerusi satu hantaran di laman Facebook rasmi beliau.
"Situasi semasa kerja-kerja pembinaan Jeti Nelayan Pengkalan Beris Tok Ku Setiu. Kelihatan ada seekor tetamu datang bertandang memantau kerja-kerja pembinaan," katanya
Kemunculan buaya terbabit yang seolah-olah menjadi 'penyelia' tidak rasmi di tapak projek mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen dan penduduk setempat, memandangkan kawasan muara dan sungai di sekitar Setiu sememangnya sinonim dengan habitat semula jadi reptilia terbabit.
Bagaimanapun, aspek keselamatan para pekerja binaan dan komuniti nelayan tempatan di kawasan berkenaan tetap menjadi keutamaan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Terdahulu,Projek menaik taraf Jeti Nelayan Pengkalan Beris Tok Ku merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan negeri dalam menyediakan infrastruktur pendaratan ikan yang lebih kondusif, selamat, dan selesa buat komuniti nelayan setempat di daerah Setiu.
Tag :