Sidang Kemuncak Antarabangsa Terengganu Kecam Genosid di Palestin
218 Tenaga Pengajar Terima Manfaat
DUNGUN, 29 September - Seramai 218 tenaga pengajar dalam kawasan Dungun menerima manfaat daripada Majlis Penyerahan Sumbangan Bantuan Ahli Parlimen di sini hari ini.
Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata, program seperti itu harus diberi penekanan dan diperluaskan sebagai tanda cakna, sekaligus dapat mengurangkan beban kewangan yang dialami tenaga pengajar lebih-lebih lagi disaat dunia masih dalam kemelut pandemik COVID-19.
Beliau berkata, majlis sumbangan yang melibatkan kerjasama para Ahli Jawatankuasa Parlimen Dungun kali ini menumpukan kira-kira 191 guru Pasti serta 27 asatizah dan ianya dilihat amat membawa makna kepada mereka.
Katanya, sumbangan ini adalah sebagai tanda menghargai usaha serta keringat para tenaga pengajar yang sentiasa mengamalkan budaya kerja yang cemerlang serta berprestasi tinggi terhadap anak-anak didikan mereka.
"Kita juga mengerti kesusahan yang dialami sebahagian tenaga pengajar sepanjang penularan wabak ini dan disebabkan itu pihak Parlimen Dungun mengambil inisiatif menganjurkan majlis seperti ini," ujarnya ketika berucap di majlis berkenaan.
Tambah beliau lagi, pihaknya akan mengambil maklum akan segala isu kebajikan yang dialami para tenaga pengajar selain sedang giat merangka program-program lain yang dapat dimanfaatkan bersama dimasa akan datang.
Salah seorang penerima sumbangan berkenaan, Zulkifli Awang Muda, 28, turut menzahirkan rasa syukur selain mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen Dungun.
"Alhamdulillah, memang kita suka bila dapat sumbangan. Sebab kita pun sedia maklum bahawa gaji guru-guru Pasti bukanlah tinggi sangat. Namun atas sebab fisabilillah, kita teruskan juga mengajar.
" Namun apa pun memang saya nak ucapkan terima kasih tidak terhingga kepada Ahli Parlimen Dungun atas inisiatif yang diambil sekaligus meraikan kami dari kalangan guru-guru Pasti," ujarnya kepada pemberita selepas menerima sumbangan berkenaan.