lightning-solid
Berita :
26 Anak Terengganu Ikuti Latihan Juruteknik Pesawat Bersama Batik Air
26 Anak Terengganu Ikuti Latihan Juruteknik Pesawat Bersama Batik Air
Adli Mohamad
1 jam yang lepas
45

NILAI, 28 Ogos – Seramai 26 anak Terengganu sedang dibangunkan sebagai tenaga mahir dalam industri penerbangan menerusi Program Latihan Perlesenan CAAM Kategori A1 bagi melahirkan juruteknik pesawat bersama Batik Air.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato' Ariffin Deraman berkata, program itu kini memasuki pengambilan kedua selepas kumpulan pertama membabitkan 10 pelajar memulakan latihan sejak tahun lalu.

Menurutnya, kumpulan kedua yang terdiri daripada 16 peserta pula memulakan pengajian pada 3 Ogos lalu, sekali gus menjadikan keseluruhan 26 anak Terengganu mengikuti program berkenaan.

Katanya, latihan tersebut mengambil masa selama dua tahun dan menawarkan sijil penting bagi mereka yang mahu membina kerjaya sebagai juruteknik pesawat.

“Mereka mengambil kursus selama dua tahun dan sijil ini sangat penting bagi juruteknik pesawat dengan prospek permintaan yang tinggi.

“Lebih penting, apabila habis kursus dua tahun ini mereka diberi jaminan akan mendapat pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Kunjungan Hormat Muhibbah ke Pusat Latihan Teknikal Batik Air di Batik Air Training Center, Bandar Baru Enstek, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Ariffin berkata kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu menyediakan RM60,000 bagi membiayai pengajian setiap peserta dalam bentuk pinjaman, manakala RM60,000 lagi disumbangkan oleh syarikat penerbangan terbabit.

Katanya, bantuan daripada MAIDAM turut disediakan kepada peserta dalam kalangan asnaf.

“Jadi, ini satu peluang yang sangat besar untuk anak-anak Terengganu.

“Sebenarnya dalam hal ini, Terengganu telah mendahului negeri-negeri lain. Kita merupakan negeri pertama yang mengadakan kerjasama dengan syarikat penerbangan Batik Air,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi (COO) Batik Air Malaysia, Capt. Mushafiz Mustafa Bakri berkata, kumpulan pertama seramai 10 pelajar dijangka menamatkan latihan pada suku keempat 2027.

Menurutnya, 16 peserta kumpulan kedua yang menyertai program tahun ini pula dijangka menamatkan latihan pada suku ketiga 2028.

Beliau berkata, sepanjang tempoh dua tahun itu, peserta bukan sahaja mengikuti pembelajaran teori, malah turut menjalani latihan praktikal secara langsung bersama Batik Air.

“Dalam masa dua tahun mereka mengambil kursus penyelenggaraan pesawat atau juruteknik dan tidak akan terhenti di sini sahaja kerana mereka akan diberi peluang untuk terus berkembang dalam kerjaya.

“Untungnya mereka mengambil kursus dengan Batik Air kerana kami menyediakan tempat untuk mereka menjalani praktikal terus dengan pesawat sebenar dan itu amat penting untuk pengalaman mereka,” katanya.

Mushafiz berkata, program tersebut turut membuka peluang kepada anak-anak Terengganu daripada golongan B40 yang menjadi keutamaan dalam pemilihan peserta.

Katanya, peluang itu membolehkan mereka membina masa depan serta mengubah kehidupan diri dan keluarga menerusi bidang penerbangan yang menawarkan laluan kerjaya lebih luas.


Tag :

Artikel Berkaitan