KUALA KRAI, 22 November – Khidmat Malaysia Terengganu berjaya mencipta pencapaian membanggakan apabila merangkul tiga anugerah utama sempena Himpunan Petugas Bencana HEBAT 7.0 yang berlangsung selama tiga hari, bermula 20 hingga 22 November 2026 di Pasir Raja Campsite, Kuala Krai, Kelantan.
Tiga pengiktirafan yang berjaya dibawa pulang ialah Peserta Lelaki Terbaik yang dimenangi oleh Shafie Razali, Khemah Negeri Terbaik dan Kontinjen Terbaik.
Pengerusi Khidmat Malaysia Terengganu, Dato’ Hanafiah Mat, menzahirkan rasa syukur serta merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh barisan kepimpinan dan sukarelawan Khidmat Malaysia Terengganu yang telah memberikan komitmen serta menyertai himpunan tersebut.

"Saya berharap segala ilmu, pengalaman dan kemahiran yang diperoleh sepanjang program tersebut dapat dimanfaatkan serta diterjemahkan dalam gerak kerja kebajikan, kemasyarakatan dan pengurusan bencana pada masa akan datang.
“Begitu juga dengan semangat kesukarelawanan ini perlu terus disuburkan, berbakti dengan penuh keikhlasan, sentiasa bersedia untuk berkhidmat dan cekal menghadapi cabaran, khususnya dalam menghulurkan bantuan kepada masyarakat yang memerlukan,” katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada seluruh peserta atas kejayaan yang diraih, sambil menyifatkan pencapaian berkenaan sebagai satu pengiktirafan terhadap semangat berpasukan, disiplin, kesungguhan dan komitmen tinggi seluruh warga Khidmat Malaysia Terengganu.
