• 17 Sept 2024 | 13 Rabiul Awal 1446

220 Lembu Dikorbankan Di Kuala Nerus


Sebanyak 220 ekor lembu dikorbankan serentak melibatkan empat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Nerus iaitu DUN Seberang Takir, Bukit Tunggal, Teluk Pasu dan Tepuh, semalam.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata lembu korban itu adalah sumbangan daripada beberapa agensi kerajaan, badan korporat, kontraktor dan orang persendirian.
Katanya, sumbangan itu bersempena sambutan Aidiladha di daerah itu yang mana menerima banyak tajaan hingga boleh mengagihkan jumlah daging yang besar kepada golongan yang kurang bernasib baik.
"Alhamdulillah, program ini sudah tiga tahun berturut-turut diadakan dan saya amat berbangga kerana ada masyarakat yang bermurah hati untuk berkongsi rezeki bagi menyambut Aidiladha dengan penuh rasa syukur.
"Ibadat korban ini membantu kita mendekatkan diri kita dengan Allah. Malah, ia juga memberi peringatan kepada orang ramai terutama mereka yang beragama Islam mengenai pengorbanan yang dilakukan oleh pelbagai pihak untuk mengekalkan keamanan negara.
"Kami berharap dengan pembahagian lembu ini, kita dapat menyempurnakan ibadat korban pada tahun ini sekali gus membuat pengagihan kepada semua pihak terutama kepada mereka yang memerlukan," beliau berkata demikian Majlis Korban Perdana di Kampung Baru, Seberang Takir, semalam.




Tag: