lightning-solid
Berita :
220 Penerima Terima Dokumen Hakmilik Tanah di DUN Air Putih
220 Penerima Terima Dokumen Hakmilik Tanah di DUN Air Putih
Ridhwan Balian
1 jam yang lepas
60

KEMAMAN , 11 Ogos : Seramai 220 penerima daripada 21 Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) di seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih menerima dokumen hak milik tanah dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Semai Bakti, FELDA Neram 2, di sini hari ini.

Selain itu, empat penerima turut menerima Notis Borang 5A yang merupakan sebahagian daripada proses pemberimilikan tanah.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam, penyerahan dokumen berkenaan merupakan satu perkembangan penting buat rakyat kerana hak milik tanah bukan sekadar sekeping dokumen, sebaliknya menjadi bukti pemilikan yang memberikan kepastian dan nilai kepada keluarga penerima.

“Alhamdulillah, kita dapat menyaksikan seramai 220 penerima daripada 21 RTB menerima dokumen hakmilik tanah, manakala empat penerima menerima Notis Borang 5A.

“Ini adalah satu perkara yang sangat bermakna kerana ada dalam kalangan penerima yang telah menunggu sekian lama untuk mendapatkan hak milik tanah. 

"Mudah-mudahan dokumen ini dapat memberi manfaat kepada mereka dan keluarga,” katanya.

Majlis berkenaan melibatkan penerima daripada pelbagai RTB termasuk Paloh Jenang, Bukit Berapit, Bandar Ceneh Baru, Kampung Tok Kapor, Perasing Jaya, Kampung Paman, Mak Chili, FELDA Neram II dan Sri Cheneh serta beberapa kawasan lain.

Tambah beliau lagi, apa yang menariknya, penerima kali ini turut terdiri daripada masyarakat berbilang kaum termasuk Melayu, Cina dan India, mencerminkan manfaat pembangunan dan penyelesaian urusan tanah yang dinikmati seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang.

" Penyerahan dokumen tersebut menjadi detik bermakna kepada penerima selepas melalui pelbagai proses dan tempoh penantian untuk mendapatkan pengiktirafan pemilikan tanah secara rasmi.

" Bagi empat penerima Notis Borang 5A pula, penyerahan itu menjadi satu lagi langkah penting dalam proses mendapatkan hak milik tanah secara sah,"ujarnya.

Jelas beliau, hak milik tanah yang diperoleh bukan sahaja memberikan kepastian terhadap status pemilikan, malah menjadi aset bernilai yang boleh dimanfaatkan untuk kepentingan penerima dan keluarga pada masa hadapan.

Majlis tersebut diharap terus menjadi pemangkin kepada penyelesaian urusan tanah rakyat serta meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup masyarakat di DUN Air Putih.


Tag :

Artikel Berkaitan