29 Pelajar Terengganu Selamat Tiba Di Mesir

Oleh : Aswadi Mohamad

KAHERAH, 19 September - 29 orang pelajar Terengganu yang melanjutkan pelajaran ke Mesir telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah pada jam 11.05 pagi tadi waktu tempatan.

Mereka tiba setelah perjalanan menerusi Penerbangan Qatar Airways dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengambil masa selama 12 jam.

Menurut Pengarah Sekretariat Pengurusan Pelajar Malaysia ke Mesir 2021, Mohd Zahani Abdul Ghani berkata, perjalanan mahasiswa pada kali ini telah dipermudahkan dan segala urusan berjalan lancar apabila mendapat kerjasama daripada semua pihak.

"Setelah selesai urusan di 'airport', para mahasiswa dan pengiring pelajar terus dibawa ke penempatan asrama Yayasan Terengganu di Hayyu Asyier untuk di kuarantin mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan selama tujuh hari.

"Sepanjang menjalani proses kuarantin ini, segala keperluan dan kebajikan mahasiswa dipantau dan diuruskan oleh pihak Keluarga Penuntut Terengganu Mesir (KPT).

"Insya-Allah selepas selesai menjalani proses kuarantin wajib ini, mahasiswa akan menyertai beberapa siri program yang telah disusun atur bagi proses penyesuaian diri serta pemakluman semasa di negara ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), pada hari ini.

Sehubungan itu pihaknya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak kerajaan negeri melalui Pengerusi Jawatankuasa  Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat.

"Juga sangat berterima kasih kepada Jabatan Pendidikan Islam Terengganu, Yayasan Terengganu, ILMAM negeri, Al-Azhar Care, KPT Mesir, Rabitah Maktab Terengganu, Pusat Bahasa Arab Terengganu (PBAT), ibu bapa pelajar yang telah membantu dalam urusan penghantaran pelajar ke Mesir ini," ujarnya lagi.

 

 


Tag: