KUALA TERENGGANU, 11 Oktober - Seramai 1,036 anggota bomba bersama 79 aset darat dan marin digerakkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu bagi menghadapi ancaman banjir susulan Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula November ini hingga Mac depan.
Persiapan rapi itu turut melibatkan pemantauan di 460 kawasan berisiko banjir di seluruh lapan daerah di negeri ini, terutama susulan ramalan pembentukan tiga gelombang hujan sepanjang musim tengkujuh.
Pengarah JBPM Terengganu, Nor Mahathir Muhammad berkata, persediaan awal digerakkan secara menyeluruh menerusi pengaktifan operasi MTL di semua balai bomba bagi memastikan aset, peralatan dan logistik berada pada tahap optimum.
Menurutnya, sebanyak 79 aset terdiri daripada 34 kenderaan darat dan 45 bot disediakan bagi melancarkan operasi menyelamat, pemindahan mangsa serta penghantaran bantuan ke kawasan terjejas.
“Persediaan ini penting bagi memastikan segala keperluan operasi dapat dipenuhi sepanjang musim tengkujuh, khususnya apabila berdepan situasi kecemasan dan bencana banjir,” katanya ketika meninjau persiapan di Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu di sini pada Ahad.
Beliau berkata, pemeriksaan menyeluruh terhadap aset dan peralatan turut dilaksanakan lebih awal bagi mengenal pasti kerosakan, sekali gus membolehkan kerja pembaikan diselesaikan sebelum ketibaan kemuncak monsun.
Langkah itu selaras dengan jangkaan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bahawa fasa peralihan monsun akan berakhir pada penghujung Oktober ini.
Mengulas kekuatan anggota, Nor Mahathir berkata, seramai 652 pegawai bomba sepenuh masa, 109 pegawai bomba bantuan dan 275 anggota Pasukan Bomba Sukarela daripada 11 pasukan akan menyokong kesiapsiagaan operasi di seluruh negeri.
Katanya, semua balai turut diarahkan meneruskan rondaan berkala di kawasan berisiko banjir berdasarkan data yang diselaraskan bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
“Bagi memastikan kelancaran pengurusan bencana, kita turut mengaktifkan Pusat Gerakan Operasi Bencana Negeri serta menggerakkan Pasukan Gerak Cepat (PGC) dengan sokongan 16 pegawai kanan penyelaras.
“Kita juga bersedia memanfaatkan Regional Forward Base (RFB) di Wilayah Tengah sekiranya memerlukan bantuan logistik tambahan dari luar negeri,” katanya.