KUALA TERENGGANU, 11 Oktober - Seluruh rakyat Terengganu kini berpeluang untuk menyelami dan menghayati kembali kehebatan era pemerintahan Sultan Zainal Abidin III menerusi pementasan Teater Muzikal Karya Agung, penuh epik Tawarikh Sultan Zainal Abidin III di Dewan Kenanga, Terengganu Equestrian Resort (TER).
Sesi pratonton ekslusif telah pun bermula semalam dihadiri pengamal media disusuli dengan sesi pratonton untuk pegawai kerajaan pada hari ini.

Naskah epik bertaraf mega ini diadaptasi daripada penulisan Syair Tawarikh Sultan Zainal Abidin III oleh Tengku Dalam Kalthum dihasilkan pada tahun 1936 kini diangkat ke pentas bagi menghidupkan semula perjuangan penuh berdaulat serta keteguhan syiar Islam di bawah bimbingan ulama tersohor, Tok Ku Paloh.
Orang ramai akan dibawa kepada menghayati kebijaksanaan Sultan Zainal Abidin III ketika berdepan ancaman perjanjian Bangkok 1909 yang telah ditandatangani pada Mac 1909 antara pihak British dan Kerajaan Siam dan dikuatkuasakan pada 9 Julai tahun yang sama tanpa persetujuan dan pengetahuan Raja-Raja Melayu.

Kemasukan bagi menyaksikan pementasan teater anjuran Lembaga Muzium Negeri Terengganu bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) ini adalah percuma.
Orang ramai dinasihatkan untuk hadir lebih awal bagi memastikan tempat duduk sebelum dewan ruang dipenuhi untuk menjadi sebahagian sejarah menghayati kisah agung menyelusuri kembali era pemerintahan Sultan Zainal Abidin III yang memerintah Terengganu dengan penuh bijaksana.

