Jalur Gemilang
Berita :
TDM Beach Clean Up Kumpul 200 Kilogram Sampah
TDM Beach Clean Up Kumpul 200 Kilogram Sampah
Noraini Jusoh
4 jam yang lepas
53

KUALA TERENGGANU, 10 Oktober - TDM Berhad (TDM) berjaya mengumpul sebanyak 200 kilogram sampah menerusi Program TDM Beach Clean Up di Pantai Batu Buruk 2 sebagai tanda sokongan terhadap usaha memelihara kebersihan kawasan pesisir pantai dan kelestarian ekosistem marin.

Pengerusinya, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, program berkenaan mencerminkan komitmen TDM dalam menggalakkan kerjasama pelbagai pihak bagi memelihara kawasan pesisir pantai, selain meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga alam sekitar.

“Pemeliharaan alam sekitar memerlukan penglibatan dan kesedaran daripada pelbagai pihak.

"Kali ini kita mengadakan kerjasama Geng Plastik Ija (GPI) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

"TDM bukan sahaja menyumbang kepada usaha membersihkan kawasan pantai malah memberi peluang kepada warga kerja dan komuniti memahami kepentingan memelihara ekosistem marin secara berterusan,” katanya dalam satu kenyataan.

Turut sama dalam menjayakan program tersebut adalah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM,Najman Kamaruddin; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare), Ir. Ts. Dr. Nurul Islam Mohamed Yusoff.

Juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Sekitaran Marin UMT, Dr. Izan Dato’ Jaafar; Ketua GPI, Zalina serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Kampung Batu Buruk, Nik Rosdi Nik Jusoh.

Sementara itu, Najman berkata, penglibatan warga kerja TDM dalam program itu turut menjadi sebahagian daripada usaha membudayakan amalan bertanggungjawab terhadap alam sekitar dalam organisasi.

Katanya, inisiatif seumpama itu memberi peluang kepada warga kerja untuk terlibat secara langsung dalam pemeliharaan alam sekitar serta membina kesedaran bahawa perubahan positif bermula melalui tindakan bersama yang dilaksanakan secara konsisten.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan