Oleh : Mohd Haniff Abas
KUALA TERENGGANU, 10 Jun - Lebih 3,000 pengunjung hadir memeriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading yang diadakan semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim berkata, majlis berkenaan adalah untuk meraikan semua penduduk di kawasan berkenaan termasuk anak perantau yang pulang berhari raya.
Katanya, program itu juga sebagai permulaan untuk terus mengeratkan lagi hubungan sesama penduduk di Buluh Gading.
“Terima kasih di atas kehadiran semua. Mudah-mudahan, dengan kemeriahan ini, kita dapat merapatkan lagi ukhuwwah dan silaturrahim sesama kita.
“Mudah-mudahan suasana seperti ini terus berkekalan walau di mana saja kita berada dan sama-sama kita membina negeri kita ini ke arah negeri yang maju, berkat dan sejahtera,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis berkenaan di Bangunan Serbaguna DUN Buluh Gading, di sini semalam.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A Rahman Yahya, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah dan Pendakwah Selebriti, Syed Norhisyam Tuan Padang.
Kata Ridzuan lagi, beliau sangat menghargai sahabat-sahabat perantau yang sudi hadir meluangkan masa ke majlis itu.
"Semoga perantau-perantau yang hadir pada hari ini selamat pulang ke destinasi masing-masing nanti," tambah beliau.