35 Kes Meninggal Luar Hospital Di Terengganu Akibat COVID-19

SETIU, 29 September – Sehingga kini, Terengganu mencatatkan 35 kematian akibat COVID-19 di luar hospital dan institusi kesihatan (BID) atau sebelum bantuan perubatan secara khusus diberi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, kebanyakan kes kematian di luar hospital tersebut berlaku akibat sesetengah masyarakat lewat ke hospital dan mendapat rawatan setelah terkesan teruk akibat virus itu.

“Bila sudah tenat baru pergi hospital, COVID-19 ini penyakit baharu dan simptomnya boleh datang tiba-tiba seperti sesak nafas kerana saluran penafasan diserang wabak.

“Kebanyakan golongan yang kehilangan nyawa akibatnya belum divaksin serta komorbid (berpenyakit kronik) seperti kencing manis, darah tinggi dan sebagainya,” katanya ketika ditemubual pemberita semalam.

Beliau menasihati agar masyarakat tidak mengambil mudah simptim COVID-19 dan segera ke institusi kesihatan bagi mendapat ujian saringan.

“Jika anda mengalami tanda-tanda atau gejala, buat ujian saringan dahulu, jika didapati positif maka rawatan segera boleh diambil. Jika tidak ia akan berpotensi untuk menjadi pesakit COVID-19 tahap 4 dan 5 (kritikal).

“Jika anda telah menerima suntikan dua dos, maka kemungkinan untuk diselamatkan adalah tinggi,” katanya lagi.

Kes BID direkodkan sebagai kes baru dan kematian baru secara serentak.