385 Penguat Kuasa Pantau Kebersihan, Kualiti Makanan Di Bazar Ramadan


Kerajaan negeri meng­ingatkan peniaga di bazar-bazar Ramadan di seluruh negeri ini agar tidak mengabai aspek kebersihan dan kualiti makanan yang disediakan dalam mengejar keuntungan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Roslee Daud berkata, bagi memastikan soal itu diberi ke­utamaan Jabatan Kesihatan Negeri diarah meningkatkan aktiviti pengawasan kebersihan dan keselamatan makanan yang dijual kepada orang ramai.

Katanya, sebanyak 106 pasukan terdiri dari 385 anggota Jabatan Kesihatan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ditugaskan untuk melakukan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap tahap kebersihan penyediaan makanan dan persekitaran bazar sepanjang Ramadan ini.

“Penguatkuasaan bukan hanya tertumpu ke bazar Ramadan, malah pemeriksaan turut dijalankan di sepanjang rantaian makanan termasuk premis pembuatan, pembekal bahan mentah serta lain-lain premis berkaitan,” ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Kebersihan dan Keselamatan Makanan serta Nafas Baru Bermula Ramadan Peringkat Negeri di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu.

Turut hadir, Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Muhamad Omar.

Dalam pada itu katanya, Jabatan Kesihatan Negeri turut menyasarkan pengambilan 164 sampel makanan di bazar Ramadan seluruh negeri untuk tujuan pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan makanan yang dijual adalah bersih dan selamat dimakan.

“Pada tahun lepas, sebanyak 169 sampel makanan telah diambil bagi mengetahui tahap pencemaran mikrobiologi dalam makanan yang dijual di bazar Ramadan.

“Keputusan analisis mendapati sebanyak 22 sampel makanan tidak mematuhi standard yang ditetapkandimana 18 sampel tercemar dengan Staphylococcus Aureus di samping empat sampel yang tercemar dengan Bacillus Cereus,” ujarnya.

Roslee berkata, kebiasaannya makanan yang tercemar terdiri daripada pelbagai jenis kerabu, lauk-pauk, air minuman dan kuih-muih.

Tag: