Berita :
Juara Qari Negeri Serlah Alunan Jiharkah dan Soba Di Pentas Akhir MTHQK 2026
Juara Qari Negeri Serlah Alunan Jiharkah dan Soba Di Pentas Akhir MTHQK 2026
Ahmad Zaeem Zainudin
14 jam yang lepas
243

KUALA NERUS, 18 April - Qari Terengganu, Abdul Hadi Che Halim, menjadi antara tumpuan pada malam akhir Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) 2026 apabila tampil dengan persembahan bacaan yang kemas dan tersusun.

Membacakan petikan daripada Surah Hud bermula ayat 50 hingga ayat 60, Abdul Hadi memanfaatkan sepenuhnya tempoh lapan minit yang diperuntukkan dengan mengalunkan bacaan menggunakan tarannum wajib, termasuk jiharkah dan soba.

Alunan jiharkah yang berasal dari Parsi (Iran) disampaikan dengan tegas dan berkarakter, manakala tarannum soba yang membawa maksud rindu, dizahirkan dengan penuh penghayatan kepada pengunjung di Dewan Arena Gong Badak, semalam.

Abdul Hadi bukanlah nama asing dalam arena tilawah apabila pernah menjuarai pertandingan peringkat negeri sebanyak lima kali, sekali gus membuktikan konsistensinya sebagai antara qari terbaik Terengganu.

Penglibatan beliau dalam tilawah merupakan satu usaha berterusan untuk memartabatkan syiar al-Quran, di samping menjadi medan memperbaiki mutu bacaan khususnya dari aspek suara dan makhraj yang sentiasa diberi perhatian untuk dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Dalam masa sama, beliau turut memainkan peranan aktif melahirkan pelapis baharu menerusi Akademi Al-Quran Hadi yang diasaskannya, dengan fokus kepada pembangunan qari cilik dan bakat-bakat baharu yang berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Pada malam akhir tersebut, Abdul Hadi bersaing bersama beberapa lagi qari dan qariah lain termasuk Zul Hasyimi Mohamed Yunus (Pahang), Cik Hasnul Taqiyuddin Cik Sazali (Perak), Nurul Nadiah Hashim (Johor), Norsyafirah Jusoh (Perlis) serta Nurussyahamah Taqiah Nurunnajmi (Wilayah Persekutuan), yang setiap daripadanya menggalas harapan besar negeri masing-masing.

Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2026 dijadual melabuhkan tirai pada 18 April, malam ini, dengan pengumuman keputusan serta penyampaian hadiah kepada para pemenang.


Ketupat

Artikel Berkaitan