400 Peserta dari 26 Negara Berentap dalam Kapas-Marang International Swimathon



Wan Abdul Hakim meninjau lokasi
Kejohanan Kapas-Marang International Swimathon 2017 dijadualkan pada 19 Mac ini. Foto oleh Harish Fadzillah Kasim.


Seramai 400 peserta melibatkan 26 buah negara bakal berentap dalam kejohanan Kapas- Marang International Swimathon 2017 sejauh 6.5 kilometer bagi edisi ke-18 pada 19 Mac ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri I, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar  berkata, kejohanan yang dianjurkan oleh kerajaan negeri itu banyak membantu Terengganu dalam mempromosikan negeri ini.

“Untuk tahun ini, seramai 400 peserta mengesahkan penyertaannya dan 67 daripadanya merupakan dari luar negara termasuk dari Algeria, Australia, Kanada, China serta peserta dari Jerman yang memegang rekod terpantas dalam kejohanan ini, Benjamin Konscak.

“Jumlah ini makin berkembang dari tahun ke tahun serta kita juga turut menerima kembali kedatangan peserta-peserta yang pernah menyertai kejohanan ini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada sidang media sempena Kapas-Marang International Swimathon 2017 di Pulau Kapas, Marang, hari ini.

Dalam kejohanan tersebut, perenang termuda yang telah mengesahkan kehadirannya adalah peserta dari Malaysia, Phua Yu Ning, 12, manakala peserta tertua pula adalah dari Kanada, Paul Brewer, 69.

Sebanyak enam kategori bakal dipertandingkan pada kejohanan tersebut dengan hadiah keseluruhan berjumlah RM20,000.

Tag: