555 Graduan Dirai Sempena Konvokesyen TATiUC


Seramai 555 graduan Kolej Universiti Tati (TATiUC) menerima diploma dan ijazah masing-masing di Majlis Konvokesyen di Dewan Canselor TATiUC, Kemaman, hari ini.

Majlis yang diadakan bersama dengan Sambutan 10 tahun TATiUC  disempurnakan oleh Canselornya, Tan Sri Ir. (Dr) Wan Abdul Rahman Wan Yaakob.


Abdul Rahman berkata, daripada jumlah keseluruhan graduan, 422 adalah pemegang diploma dan selebihnya adalah graduan program ijazah sarjana muda.


"TATiUC berharap para graduan sudah bersedia untuk menempuh alam kerjaya yang semakin mencabar pada era ini.


"Saya percaya peningkatan jumlah graduan dari semasa ke semasa adalah kerana mutu dan kualiti pengajian serta bidang kemahiran selain jaminan kerjaya sebaik tamat pengajian," katanya.


Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah TATiUC, Ghazali Taib yang juga Pengerusi Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas Negeri.



Menurut Abdul Rahman, kekuatan yang dibekalkan kepada graduan selama menuntut ilmu menjadi senjata utama bagi meneruskan kecemerlangan di bidang yang diceburi.

Selain itu, tambahnya, keunikan sistem pembelajaran yang di universiti itu yang berkualiti, mengguna pakai sistem yang pintar dan cekap juga dapat memenuhi keperluan serta pasaran guna tenaga pekerja yang tinggi mendorong ramai mahu mengikuti pengajian di situ.



Beliau berkata, terbaru, pihak pengendali East Cost Rail Link ( ECRL ) projek laluan keretapi yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan Pantai Timur melalui Technology Depository Agency ( TDA ) di bawah Kementerian Kewangan Malaysian bercadang  juga mahu menjadikan TATiUC sebagai Pusat Latihan Pekerja.

"Latihan tersebut meliputi enam sub-sektor antaranya rolling stock, track work, signalling communication, automated fares collection, electrification tunneling dan E-locomotive.

"Mereka juga berhasrat untuk mengambil graduan-graduan TATiUC sebagai tenaga kerja dalam lokomotif tersebut," katanya.

Pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang  konvokesyen bermula 8 hingga 10 Oktober ini yang juga bersempena sambutan 10 tahun penubuhan pusat pengajian itu.


Tag: