600 Terima Manfaat Kad Sejahtera di Permaisuri

SETIU, 12 Mac : 600 orang penerima Kad Sejahtera peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri bakal terima manfaat pembiayaan rawatan kesihatan.

Pegawai Penyelaras, Zul Bhari A Rahman berkata, penerima Kad Sejahtera yang terpilih menerima inisiatif ini adalah mereka yang bertuah dan sebaiknya dimanfaatkan semaksima mungkin.

"Alhamdulillah, hasil usaha pimpinan kerajaan hari ini memikirkan usaha yang terbaik bagi memberikan kesejahteraan kepada rakyat melalui pembiayaan rawatan kesihatan,"ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Penyerahan dan Taklimat yang diadakan di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Setiu, Sungai Tarom semalam.

Sebanyak RM 500 diperuntukkan setahun dengan 13 jenis rawatan asas dan pembedahan kecil melalui klinik panel yang terpilih bagi tujuan tuntutan rawatan.

Kad Sejahtera adalah manifesto yang ditawarkan oleh PAS Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu dan telah berjaya ditunaikan.

Rata-rata ditemui mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri atas inisiatif yang baik ini dan berharap usaha ini diteruskan pada masa akan datang.