70 Rumah Bot Tasik Kenyir Akan Digredkan

KUALA NERUS, 19 Julai- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) akan mengredkan 70 rumah bot  yang beroperasi di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu dalam tempoh terdekat sebagai usaha meningkatkan mutu dan menaiktaraf perkhidmatan itu. 

Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) MOTAC, Mohd Zamri Mat Zain, berkata,  perincian pengredan sama ada mengikut penarafan bintang atau dikelaskan kepada kategori tertentu akan ditentukan kemudian bersama Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) dan agensi yang terlibat.

Katanya,  keputusan untuk mengredkan rumah bot tidak semudah mengredkan  Premis Penginapan Pelancongan (PPP) yang dilaksanakan terhadap hotel bandar, hotel resort, hotel tanah tinggi, hotel butik dan hotel inovatif sebelum ini.

“Ini kerana, perkhidmatan rumah bot yang dianggap hotel bergerak itu melibatkan banyak aspek teknikal terutama berkaitan sistem kumbahan, enjin bot, pengurusan bilik enjin, saliran ekzos, tangki minyak dan tandas.

“Bagaimanapun, antara kriteria utama yang perlu dititikberat pengusaha bot dalam memastikan mereka layak diberikan pengredan adalah perlu mempunyai lebih 10 bilik, 50 katil, aspek keselamatan, kebersihan, penyediaan makanan dan penyaman udara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika beruca pada Majlis Penutup Bengkel Pembangunan dan Pemurnian Kriteria Penggredan PremisPenginapan Pelancong Hotel Inovatif Kategori Houseboat anjuran Motac dengan kerjasama JPNT di Hotel Raia, Kuala Nerus, kelmarin. 

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Tun Ahmad Faisal Tun Abd Razak, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri, Fadli Yusof Zakaria dan Pengerusi Persatuan Pelancongan Tasik Kenyir A. Aziz  Ar Rahim.

Menurut  Mohd Zamri, penggredan yang akan dilaksanakan itu bukanlah satu mandatori kepada premis untuk memohon dan tiada tindakan penguatkuasaan akan dikenakan kepada pengusaha rumah bot yang tidak membuat pemohonan pengredan. 

“Hal ini sama seperti penggredan PPP sedia ada di mana pelaksanaannya adalah secara sukarela. Walau bagaimanapun MOTAC akan sentiasa menggalakkan mereka untuk diberikan penggredan di bawah MOTAC. 

 “Pelaksanaan penggredan ini juga akan menjadi pemangkin kepada industri rumah bot di Malaysia untuk terus menawarkan perkhidmatan dan fasiliti yang terbaik,” katanya.