SETIU, 29 Jun - Program derma darah peringkat daerah mencatatkan seramai 73 orang penderma pada hari pertama program itu berlangsung.
Pegawai Perhubungan Awam, Tabung Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, Suhaimi Yusof berkata, seramai 89 orang mendaftar diri pada hari ini tetapi yang lulus serta dibenar untuk menderma darah adalah seramai 73 orang sahaja.
"Kita berkampung selama dua hari di Setiu hari ini dan esok (Rabu) dan selepas ini kita akan ke Besut,
"Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang bersama pada program kali ini dan selepas ini kita akan aturkan jadual lagi ke Setiu memandang Setiu ramai penderma tetap," katanya ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) semalam.
Hadir sama meninjau perjalanan program Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri, Zul Bhari A Rahman.
Program anjuran bersama Jabatan Amal Malaysia Kawasan Setiu dengan kerjasama Unit Transfusi Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) itu bermula 9 pagi hingga 3 petang di Dewan Perpustakaan Awam Daerah Setiu.
Sementara itu, Mohd Hafizi Hashim, 33 salah seorang penderma ditemui berkata, dia yang sudah menderma sebanyak 22 kali mengakui sudah biasa dan tidak berasa takut.
Penderma diingatkan untuk mendapatkan rehat yang cukup serta sihat tubuh badan dan bebas penyakit bagi menyertai program derma darah.