KUALA NERUS, 4 April – Sebanyak 89 bot nelayan bergotong-royong menyelusuri lembangan Sungai Nerus semalam bagi memelihara sumber alam tersebut.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ekspedisi meliputi tiga daerah itu disertai 224 peserta dan dicetuskan oleh para nelayan darat setempat.
“Ini bertujuan sebagai usaha dalam pembersihan sungai daripada sisa sampah, jala-jala dan sebagainya.
“Penglibatan mereka adalah besar untuk negara kerana idea ini datang dari mereka (nelayan), oleh itu ia wajar dijadikan inspirasi kepada kita semua,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas upacara pelepasan Ekspedisi Sungai Nerus 2021 Negeri Terengganu Darul Iman di Jeti Kampung Tanjung Sabtu, pagi tadi.
Turut hadir, Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, Ketua Setiausaha, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Terengganu, Mohd Sor Othman.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim memaklumkan sungai sepanjang 76 kilometer meliputi Daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Setiu adalah nadi sumber hidupan yang wajib dipelihara.
“Sebanyak 20 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) termasuk JPKK Tanjung Sabtu mengambil bahagian dalam kecaknaan ini melibatkan empat kawasan DUN demi mengembalikan kegemilangan Sungai Nerus.
“Usaha usaha yang sewajarnya digembleng terutamanya melibatkan masyarakat di sepanjang sungai ini bersama-sama memelihara khazanah alam yang tidak ternilai.
“Masyarakat sekitar tebing sungai juga seharusnya memupuk kesedaran menjaga,” jelasnya.