Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang turut hadir meraikan Program Korban Perdana di MDQ. |
MARANG - Sebanyak 91 ekor lembu telah dikorbankan sempena Aidiladha di tapak perkarangan asrama banin Maahad Darul Quran (MDQ).
Mudir MDQ, Ustaz Yasin Salleh mengucapkan terima kasih dan syukur kerana dapat menyambut ibadah tersebut bersama orang ramai.
“Alhamdulillah, di Maahad Darul Quran hari ini, kita sembelih 46 ekor kambing dan 45 ekor lembu, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 91 ekor.
“Qurban ini adalah untuk memberi makan kepada anak-anak penuntut ilmu di sini sekitar 1,000 orang lebih," ujarnya.
Menurutnya, pembinaan kini sedang giat dilaksanakan bagi menyiapkan bangunan tiga tingkat meliputi dewan memasak dan dewan umum. Anggaran kos yang diperlukan adalah RM15 juta.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sewaktu Program Qurban dan Aqiqah Korban Perdana 1439H, anjuran sekolah rakyat itu, semalam (23 Ogos).
Aidiladha disambut oleh umat Islam di seluruh negara pada hari ini memberikan makna yang besar kepada erti pengorbanan yang ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim.
Sementara itu, Pengarah Program, Ustaz Haji Rozman Awang berkata, program ini dibuat secara tahunan.
"Konsep yang dibuat oleh pihak maahad ialah peserta akan mendapat saguhati sebanyak 2 kilogram daging dan yang selebihnya akan diagihkan kepada pihak maahad untuk pelajar-pelajar merasai daging qurban yang disumbangkan oleh orang ramai,” jelasnya.
Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang dalam perutusannya sempena perayaan tersebut berkata, hari raya ini kita menyembelih binatang ternakan, ianya tidak sama dengan sembelihan memuja syaitan yang diamalkan oleh penganut agama lain.
“Kita menyembelih kerana Allah dan membuat kebajikan sesama kita dengan perintah Allah.
"Jadikanlah hari raya ini untuk mendekatkan diri kepada Allah dan mengeratkan lagi kasih sayang dan semangat persaudaraan Islam yang membawa berkat kepada kehidupan di dunia dan keselamatan di akhirat,” tegasnya.
Turut hadir, Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Yahaya Ali.