Abdul Hadi Dilantik Sebagai Duta Khas Ke Timur Tengah - PM

Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

KUALA LUMPUR, 2 April - Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Abdul Hadi Awang dilantik sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah hari ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan rasmi hari ini berkata, pelantikan bertaraf Menteri itu dibuat selaras dengan pengalaman luas di peringkat global yang dimiliki Presiden PAS terbabit.

"Abdul Hadi merupakan bekas Naib Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia (KUIS).

"Beliau pernah menjadi Menteri Besar Terengganu pada tahun 1999 hingga 2004," jelasnya kenyataan itu.

Menurut Perdana Menteri lagi, kecemerlangan dalam bidang akademik juga menjadi faktor Abdul Hadi dipilih.

"Selain itu, beliau merupakan pemegang ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti Islam Madinah dan ijazah Sarjana dari Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir dalam bidang Sains Politik.

"Di samping tersenarai sebagai antara 500 Muslim berpengaruh di dunia bagi kategori Pendakwah dan Pembimbing Rohani oleh The Royal Islamic Strategic Studies yang berpusat di Jordan pada tahun 2016," jelas kenyataan itu.


Tag: