Abdul Hadi, Model Pengusaha Itik Berjaya


Oleh: Aslam Wira

MARANG, 16 Ogos - Seorang anak muda yang berusia 31 tahun merupakan contoh model pengusaha berjaya dalam ternakan itik telur semenjak dua tahun lalu.

Muhammad Abdul Hadi Salleh mengusahakan hampir 100 ekor itik telur bagi memenuhi pasaran jualan telur itik kepada pembeli dan peminat telur masin.

“Dalam masa satu hari, saya boleh dapatkan 80 biji telur dan seminggu ianya mencapai 500 biji telur.

"Namun tidak mencukupi kerana permintaannya mencecah 1000 biji dalam satu masa," ujarnya kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman ( UPDI) di rumahnya di Kampung Sentul Patah, di sini hari ini.


Turut hadir, Pegawai Khas Menteri Besar, Wahad Osman , Penyelia Pusat Khidmat DUN Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng; kakitangan Jabatan Veterinar Marang dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Sentul Patah.

Menurut Abdul Hadi lagi, seterusnya adalah usaha bagi mencapai sasaran bagi memenuhi permintaan ramai lebih-lebih lagi penggemar telur masin.


Sementara itu, Wahab Osman berkata pengusaha itik  di kalangan anak muda tidak ramai dan ini adalah peluang yang baik memandangkan permintaan agak tinggi terhadap telur yang dihasilkan.

Menurutnya lagi, orang muda perlu menjadikan Hadi sebagai contoh, kerana bersungguh-sungguh melakukan pengusahaan itu walaupun ia nampak seperti agak kekampungan.

“Minat dan usaha yang bersungguh-sungguh adalah salah satu jaminan untuk membuktikan kejayaannya dalam pengusahaan ini. Tambahan pula, itik telur ini mudah diuruskan.”

“Di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang pula akan cuba mewujudkan ternakan secara berkelompok untuk belia dan anak muda bagi menambah peluang perkerjaan," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Veterinar Marang yang hadir juga menawarkan khidmat yang mampu diberikan oleh jabatan mereka.

Antaranya adalah memberikan khidmat nasihat, menawarkan kursus khas, penyediaan ubatan seperti “ubat stress” dan penyelidikan penyakit melalui sampel najis yang dikutip.

Tag: